Thursday 19 January 2012

BERDAMAI DENGAN TAKDIR

Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini,
"Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata."
 Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma 'sekerat', kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu
 Rasulullah saw berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.

Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikan-Nya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu. Ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabi'e nya.


  • Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stress, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk 'berkelahi' dengan takdir. Kita tidak menerima 'warna-warni' kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.
  • Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, "Sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga." Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk 'bersahabat' dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita menikmati alam seperti seadanya. Akur kepada Pencipta senja.
  • Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan 'lukisan takdir' pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
  • Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah. Malah, kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri, "Aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik."
  • Jika yang diharapkan berlaku, maka bersyukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka maka bersabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku. Namun, apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.
 Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah. Dia akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdir-Nya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stress keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah. Allah tidak akan mengecewakan kita.

Wahai Manusia, Kamulah Yang Memerlukan Allah!


Manusia makhluk paling istimewa yang Allah cipta. Tapi manusia makhluk yang paling suka 'buang' Allah
Sepanjang usia kita, cuba ingat balik berapa banyak kali kita 'buang' Allah. Tak ingat bukan? Biasalah, manusia itu insan dan insan itu sifatnya pelupa. Kalau begitu, mari kita sama-sama imbas kembali.
Ingat balik masa mula-mula kita lahir dulu. Allah bagi kita tengok dunia, keluar dari perut ibu kita dengan selamat. Ada kaki, ada tangan malah mata, mulut dan hidung kita tak terbalik kedudukannya, elok terletak di tempat yang sepatutnya. Cuba kira, berapa kali saja kita pernah rasa syukur dengan anugerah ini? Berapa kali saja kita pernah katakan, 'Ya Allah, terima kasih atas rupa yang cantik ini'?

  • Tanpa kita sedar, Allah bagi kita kejayaan sejak kita belum lahir lagi. Bayangkan, berjuta-juta sperma yang berebut-rebut nak jumpa dgn ovum, kita yang berjaya. Ya, kita hina.  Kita ini asalnya sperma saja, tapi kita sperma yang sombong. Pernah kita rasa bersyukur atas kejayaan besar ini?
  • Sejak sekolah rendah Allah bagi kejayaan. Tiba-tiba sampai sekolah menengah sangkut sikit dalam peperiksaan, tidak lepas masuk university, apa kita buat? Kita marah Allah. 'Penat aku belajar, Allah bagi gagal pula!', kata kita. Kita terus tinggalkan segala ibadah kerana kononnya merajuk dengan Allah.
  • Itu kalau tak lepas. Cuba kalau lepas dan Berjaya, kita kata, 'Alhamdulillah, usaha saya banyak, memang patut dapat keputusan cemerlang begini'. Kita 'mention' nama Allah sekali saja, buat cukup syarat. Yang banyaknya kita 'mention' nama kita, usaha kita. Sekali lagi kita 'buang' Allah. Padahal sebelum dapat, beria-ria minta pada Allah.

Bila jalan-jalan, ketika dalam keadaan musafir, cuba tanya diri sendiri, aku jaga atau tidak solat aku? Padahal rukhsah yang Allah bagi pada musafir sangatlah banyak. Jamak, qasar. Tapi masih tidak ramai yang buat. Lebih banyak yang tinggalkan, tidak solat terus. 'Takpe, di rumah aku solat penuh', kata kita. Baru dapat berjalan sikit, bergembira melancong, kita 'buang' Allah sekali lagi.

  • Baiklah. Cukup dengan sikap angkuh kita. Sekarang, cuba kita tukar watak.
  • Kita tinggal solat 5 waktu, kita kata solat itu penat, membuang masa. Apa Allah buat? Adakah Allah kata, 'penatlah jaga budak ini, tak payah jagalah, membuang masa saja'. Tidak! Allah masih jaga kita, lindung kita dari bahaya.
  • Kita marah Allah sebab tidak bagi apa yang kita mahu. Cuba kalau kita yang tidak bagi apa yang Allah mahu (tidak solat, tidak tutup aurat, etc), apa Allah buat? Allah masih lagi tahan langit supaya tidak jatuh pada kita, Allah masih lagi bekalkan oksigen supaya kita boleh bernafas, Allah masih lagi kawal perjalanan darah kita supaya kita mampu hidup. Berapa kali kita pernah berterima kasih padaNya?
    Kita buat banyak sangat benda yang Allah larang, tapi Allah tidak pernah sesaat pun tinggalkan dan lupakan kita. Padahal, Allah dah nyatakan dalam Al Quran, yang kalau Dia mahu, bila-bila masa saja Dia boleh hapuskan kita.

"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya, Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yg baru untuk menggantikan kamu. Dan yang demikian itu tidaklah sulit bagiNya." [35:15-17].

Nak cipta kita sangatlah mudah bagi Allah. Padahal kita ini teramatlah 'complicated'. Cuba belajar biologi, bermacam-macam istilah yang ada dalam badan kita ini. Adakah kita fikir, untuk menghapuskan kita itu susah bagi Allah? Tidak susah sama sekali bukan?

Tapi, adakah Allah buat? Ketika kita abaikan perintah Allah, kalau Allah mahu, Dia boleh hapuskan kita pada saat itu juga. Tapi Allah yang sweet itu tak buat begitu. Allah sentiasa tunggu kita datang dekat Dia. Allah sentiasa rindukan suara kita memohon padaNya.

Jika kita sedar, sudah berjuta-juta peluang yang kita dapat dari Allah. Kalau orang bercinta, cukup sekadar memberi hingga peluang ketiga, jika masih diulang kesilapan yang sama, alamatnya Hai Hai Bye Bye lah. Tapi Allah, tidak akan pernah jemu untuk mmeberi peluang baru pada kita.
Allahkah yang memerlukan kita, atau kita yang memerlukan Allah?
"wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah..."

Friday 13 January 2012

Otak Dan Akal Ciptaan Allah

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Dialah yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah daripada segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan. Daripada segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas Baginda S.A.W. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

  • Otak,akal dan fikiran adalah suatu nikmat dan anugerah Allah kepada manusia.Seringkali ketiga-tiga kurniaan ini diaggap sama namun hakikatnya otak, akal dan fikiran adalah suatu yang berlainan tetapi saling berkaitan. Otak ialah ciptaan Allah yang bersifat konkrit dan kelihatan. Bagi yang belajar subjek Biologi tentu biasa mendengar teori Roger Sperry yang menyatakan otak terbahagi kepada dua bahagian iaitu kiri dan kanan. Kedua bahagian ini mempunyai daya fikiran yang berbeza. Bahagian otak kanan membolehkan kita berfikir dengan kreatif dan berimaginasi sebaliknya bahagian kiri otak membolehkan kita berfikir dengan logik dan analisis.
        •  Akal pula adalah suatu ciptaan Allah yang unik. Tidak seperti otak, ia bersifat abstrak atau tidak kelihatan. Namun, ia tetap wujud. Jika anda melihat pembedahan otak dilaksanakan, yang anda akan lihat hanyalah otak bukan akal. Akal ialah anugerah yang besar daripada Allah S.W.T kepada kita semua makhluk-Nya yang bernama manusia. Dengan akal darjat kita ditinggikan berbanding makhluk Allah yang lain seperti tumbuhan dan binatang. Dengan adanya otak dan akal barulah fikiran boleh dihasilkan.
        • Perumpamaan otak dan akal adalah umpama hardware dan software dalam komputer. Kita andaikan otak kita adalah hardware manakala akal ialah software. Kedua-dua unsur ini perlu digabungkan untuk berfungsi dengan baik. Seperti yang kita tahu, setiap hardware memerlukan software untuk berfungsi manakala tanpa hardware pula, software tidak dapat digunakan. Mustahil untuk menggunakan komputer tanpa software dan mustahil untuk menggunakan software tanpa adanya komputer.
        • Begitulah juga hubungkait antara otak dan akal manusia. Tanpa wujudnya otak, akal tidak dapat digunakan dan tanpa akal pula, mustahil otak dapat digunakan. Jika kedua-dua otak dan akal digunakan maka akan wujudlah fikiran. Dengan wujudnya fikiran maka manusia boleh berfikir. Fikiran pula wujudnya dalam dua keadaan iaitu fikiran keadaan sedar dan fikiran bawah sedar. Dari sudut ilmiah, fikiran sedar digunakan dalam empat tahap iaitu mengenal pasti maklumat, membuat perbandingan, menganalisis dan membuat keputusan terhadap sesuatu maklumat.
          Maklumat dikenalpasti dengan menggunakan pancaindera kurniakan Allah S.W.T iaitu bau, sentuhan, penglihatan, pendengaran dan perasaan/ rasa). Perbandingan dilakukan dengan merujuk kepada bahan dan pengalaman setiap manusia seterusnya dianalisis sebelum fikiran memutuskan sesebuah maklumat itu. Sungguh hebat ciptaan Allah, hanya beberapa saat sahaja otak kita mampu memproses dan menerima berjuta-juta maklumat. Subhanallah. Firman Allah S.W.T:
          "Yang telah menciptakanmu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuhmu) seimbang, dalam bentuk apa yang dikehendaki, Dia menyusun tubuhmu". (al-Infitar:7-8)
          • Minda bawah sedar pula adalah suatu keadaan di mana manusia berfikir di luar tahap kesedarannya. Mengikut teori pakar hipnosis, Milton Erickson, kemampuan berfikir di tahap bawah sedar adalah jauh lebih tinggi daripada fikiran sedar. Beliau menisbahkan kemampuan berfikir bawah sedar adalah sembilan kali ganda lebih tinggi daripada kemampuan fikiran sedar. Kadang-kala kita merasakan sesuatu memori itu telah dilupakan namun pada suatu ketika kita dapat mengingatinya kembali tanpa menyedari memori itu tersimpan di dalam otak. Maka ketika itulah fikiran bawah sedar akan keluar dan digunakan.
          Sesungguhnya rahsia ilmu Allah itu sangat luas dan hakikat yang sebenar hanya Allah yang lebih mengetahui. Merenung penciptaan tiga anugerah Allah bernama otak, akal dan fikiran ini akan membuatkan kita berasa kerdil nya diri kita. Biarpun kita digelar manusia terpintar didunia ini, adalah mustahil bagi kita untuk mencipta satu ciptaan yang menyamai ketiga-tiga benda ciptaan Allah ini. Moga kita menggunakannya ke arah kebaikan dan diredha Allah S.W.T bukan sebaliknya kerana kita perlu ingat siapa yang menciptakan kesemuanya.