Friday 30 August 2013

Peratusan = Riba?


Umum mengetahui bahawa faedah (interest) di institusi kewangan konvensional dikira berdasarkan peratusan tertentu daripada jumlah pokok yang dipinjam. Berdasarkan amalan di institusi kewangan konvensional, nilai peratusan yang digunakan adalah berpandukan BLR (based lending rate) yang ditentukan oleh Bank Negara. Peratusan inilah yang dikira sebagai riba kerana peratusan ini adalah bayaran tambahan yang dikenakan sebagai ganti kepada tangguhan masa yang diberikan oleh pemiutang. 

Contohnya, Adrew meminjam RM100,000 daripada Bank A yang akan dibayar balik secara ansuran selama 10 tahun. Pada ketika pinjaman dibuat, kadar BLR adalah 7%. Jadi jumlah yang perlu dibayar balik oleh Adrew secara kasarnya ialah RM100,000 + (RM100,000 x 7% x 10) = RM170,000. Melalui pengiraan ini, jumlah RM70,000 adalah riba.

Disebabkan oleh amalan institusi kewangan konvensional ini, rata-rata masyarakat menganggap peratusan sebagai sinonim atau seerti dengan faedah (interest) dari segi kesan dan hukumnya. Justeru apabila mereka ingin mendapatkan khidmat pembiayaan daripada institusi kewangan Islam, mereka merasakan yang institusi kewangan Islam juga mengenakan faedah (interest) kerana institusi kewangan Islam juga menggunakan peratusan tertentu dalam menentukan jumlah yang perlu dibayar balik oleh mereka yang mengambil produk pembiayaan.

Sebenarnya pemahaman yang sebegini sebenarnya adalah tidak benar. Dalam post-post yang lepas, kita telah melihat bagaimana riba boleh berlaku dalam transaksi hutang dan jual beli. Jadi pemahaman tentang jenis-jenis riba tersebut harus kita padankan dengan produk-produk pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam.

Harus kita fahami bahawa setiap produk pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam adalah berdasarkan urusan jual-beli dan bukannya hutang-piutang. Maka dengan sebab itu, meskipun institusi kewangan Islam menggunakan peratusan tertentu dalam pengiraan jumlah pembiayaan yang perlu dibayar balik oleh pelanggan, peratusan tersebut tidak dikira sebagai riba.

Mungkin perlu saya ulang secara ringkas di sini bahawa dalam urusan jual-beli, riba boleh berlaku apabila terdapat perbezaan kuantiti atau tangguhan masa penyerahan dalam jual-beli barangan ribawi yang sama jenis. Selain itu, riba juga berlaku apabila terdapat tangguhan masa penyerahan dalam jual beli barangan ribawi yang sama kategori. 
[Untuk maklumat lanjut sila lihat post: Riba (Bahagian 2: Jenis-jenis Riba)]. 

Walaubagaimanapun, pada kebiasaannya, produk pembiayaan runcit yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam tidak melibatkan jual-beli barangan ribawi yang sama kategori atau sama jenis. Urusan jual beli dalam produk pembiayaan Islam runcit pada umumnya melibatkan jual-beli komodoti atau hartanah dengan menggunakan duit. Oleh itu, kedua-dua bentuk riba yang kita sebutkan di atas tidak berlaku.

Contohnya, bagi produk pembiayaan peribadi, antara konsep yang biasa digunakan oleh institusi kewangan Islam di Malaysia adalah Bai' Al-Inah yang melibatkan penjualan barangan secara bayaran tangguh dan kemudian diikuti dengan pembelian semula barangan yang sama secara tunai pada harga yang lebih murah daripada jualan secara bayaran tangguh. Persoalannya, di manakah penggunaan peratusan yang telah kita bincangkan daripada awal tadi. Sebagaimana BLR, institusi kewangan Islam mempunyai based financing rate (BFR) sebagai panduan dalam pengiraan produk pembiayaan yang ditawarkannya. BFR inilah peratusan yang kita sebut-sebutkan daripada awal tadi.

Dalam produk Bai' Al- Inah umpamanya, BFR digunakan untuk mengira jumlah harga yang perlu dibayar oleh pelanggan ketika membeli komodoti atau hartanah daripada bank secara tangguh. Misalnya pelanggan ingin mendapatkan pembiayaan peribadi sejumlah RM100,000.00 untuk dibayar balik dlm tempoh 10 tahun dan kadar BFR adalah 7%. Bank akan menjual barangan kepada pelanggan dengan harga RM100,000 + (RM100.000 x 7% x 10) = RM170,000. Manakala pelanggan akan kemudiannya menjual kepada bank barangan yang sama pada harga RM100,000 tunai. Daripada penjualan tunai inilah pelanggan mendapat RM100,000 yang dia inginkan sebagai pinjaman peribadi.

Persoalan seterusnya ialah jika harga yang perlu dibayar dalam pembiayaan Islam itu sama atau kadang-kala lebih mahal daripada pinjaman bank konvensional, apakah bezanya antara kedua-dua produk ini dan apa yang menjadikan pembiayaan Islam itu patuh Shariah. Jawapannya ialah pembiayaan Islam tidak melibatkan riba kerana terdapat transaksi jual-beli dan bukan semata-mata pinjaman dan bunga. Maka dengan sebab itu, kita tidak boleh samakan peratusan dengan riba sebaliknya kita harus melihat bagaimana peratusan tersebut diguna-pakai.

Malangnya mereka yang tidak memahami perbezaan ini sering mengutuk produk-produk institusi kewangan Islam tanpa ilmu. Ramai orang yang suka menyalahkan tanpa melihat kejahilan mereka sendiri.

Riba (Bahagian 2: Jenis-jenis Riba)

Setelah kita memahami makna riba dalam post Riba Bahagian 1, kali ini mari kita mendalamkan ilmu pengetahuan kita berkenaan riba dengan mempelajari jenis-jenis riba'.

 

Para fuqaha' mempunyai pelbagai pendekatan dalam membuat pengelasan terhadap jenis-jenis riba'. Ada yang membahagikan riba' kepada Riba Al-Qur'an (riba yang diharamkan melalui Al-Qur'an) dan Riba As-Sunnah (riba yang diharamkan melalui Sunnah). Ada juga yang membahagikan riba' kepada Riba Al-Fadl (riba yang berlaku dengan sebab perbezaan kuantiti) dan Riba An-Nasiah (riba yang berlaku dengan sebab penangguhan).

 

Walauapapun pendekatan yang digunakan, ini tidak menjadi masalah kerana pada asasnya mereka sebenarnya menerangkan perkara yang sama cuma melalui cara tersendiri yang berbeza. 

 

Bagi saya, saya cenderung untuk memilih pembahagian riba kepada Riba Ad-Duyun (riba' yang berlaku dalam hutang) dan Riba Al-Buyu' (riba yang berlaku dalam jual beli). Pembahagian yang lebih terperinci adalah seperti berikut:


Dalam bahagian 1, saya memberikan pengertian riba sebagai yang berikut:

 

"Sebarang bentuk tambahan sama ada dalam bentuk masa penyerahan dalam pertukaran barangan ribawi yang sama kategori atau dalam bentuk perbezaan kuantiti dalam pertukaran barangan riba' yang sama jenis atau sebarang tambahan ke atas hutang disebabkan oleh penangguhan."

 

Bahagian bertanda merah termasuk dalam kategori Riba Al-Buyu' yakni riba yang berlaku dalam urusan jual beli manakala yang bertanda biru termasuk dalam kategori Riba Ad-Duyun yakni riba yang berlaku dalam hutang-piutang. 

 

Riba Al-Buyu' 

 

Terbahagi kepada 2 iaitu:

 

1. Riba Al-Fadhl yakni sebarang tambahan dalam bentuk perbezaan kuantiti dalam pertukaran barangan riba' yang sama jenis.

 

Contohnya: A menjual 100g emas 999 dengan 50g emas 912. Dalam situasi ini berlaku Riba Al-Fadhl disebabkan perbezaan kuantiti dalam pertukaran kerana emas 999 dan emas 912 adalah daripada jenis yang sama yakni emas meskipun kualitinya berbeza.

 

2. Riba Al-Nasa' yakni sebarang tambahan dalam bentuk masa penyerahan dalam pertukaran barangan ribawi yang sama kategori.

 

Contohnya: A menjual 1kg gandum yang diberi serta-merta dengan 500g beras yang akan dibayar secara tangguh. Dalam situasi ini, berlaku Riba Al-Nasa' disebabkan penangguhan masa penyerahan kerana gandum dan beras adalah daripada kategori yang sama yakni makanan.

 

Riba Ad-Duyun

 

Juga terbahagi kepada 2:

 

1. Riba Al-Qardh yakni sebarang penambahan sama ada dalam bentuk jumlah pembayaran atau manfaat ke atas hutang yang disyaratkan diawal kontrak hutang.

 

Contoh: A meminjamkan RM1000 kepada B dengan syarat B meminjamkan keretanya kepada A. Dalam hal ini manfaat yang A perolehi melalui penggunaan kereta yang dipinjam daripada B adalah riba kerana ini termasuk dalam kategori penambahan dalam bentuk manfaat.

 

2. Riba Al-Jahiliyyah yakni sebarang penambahan sama ada dalam bentuk jumlah pembayaran atau manfaat ke atas hutang yang dikenakan ke atas penghutang kerana kegagalannya membayar hutang dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Contoh: A meminjamkan RM1000 kepada B dengan syarat B membayar hutang tersebut dalam tempoh sebulan. Setelah tamat tempoh sebulan, B gagal melunaskan hutang tersebut maka dengan sebab itu A mengenakan bunga sebanyak RM50. Dalam hal ini, RM50 yang dikenakan tersebut adalah riba.

Riba (Bahagian 1)

Saya kini sedang menjalani program internship selama 3 bulan di salah-sebuah bank di Malaysia. Bagi memenuhi salah-satu tugasan yang telah diberikan kepada saya, saya perlu membuat bacaan dan kajian tentang riba dan hal ehwal yang berkaitan dengannya. Maka di sini ingin saya kongsikan sedikit sebanyak hasilnya buat manfaat kita bersama.

Makna Riba
Makna riba dari segi bahasa ialah 'lebihan' atau 'tambahan'. Makna riba dari segi istilah yakni makna yang dimaksudkan oleh fuqaha' apabila merujuk kepada riba sebagaimana yang telah saya formulakan setelah mengambil kira pelbagai jenis riba yang wujud adalah seperti berikut:



"Sebarang bentuk tambahan sama ada dalam bentuk masa penyerahan dalam pertukaran barangan ribawi yang sama kategori atau dalam bentuk perbezaan kuantiti dalam pertukaran barangan riba yang sama jenis atau sebarang tambahan ke atas hutang disebabkan oleh penangguhan."


Huraian Makna
1. Barangan ribawi adalah barangan yang disebut oleh hadith Rasulullah yang berikut:
"Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam mestilah sama (kuantitinya) di kedua belah pihak dan ditukar dalam satu masa. Barangsiapa yang membayar atau meminta lebih maka telah terjerumus ke dalam riba."

Menurut hadith di atas, barangan ribawi adalah emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam. Enam barangan ini disepakati oleh fuqaha' sebagai barangan ribawi.

Namun, para fuqaha' berselisih pendapat dalam persoalan adakah barangan ribawi terhad kepada barangan di atas sahaja (sebagaimana pendapat Zahiriyyah) atau termasuk juga barangan lain. Majoriti fuqaha' berpendapat bahawa barangan ribawi tidak terhad kepada barangan yang disebut dalam hadith tersebut sahaja tetapi meliputi semua barangan yang berkongsi 'illah dengan barangan yang disebutkan di atas:

Mazhab Hanafi dan Hanbali: semua barangan yang boleh ditimbang dan disukat tergolong dalam kategori barangan ribawi.

Mazhab Maliki: setiap barangan yang dikategorikan sebagai makanan atau barangan yang boleh disimpan adalah termasuk dalam barangan ribawi.
Mazhab Syafie: semua barangan yang boleh dimakan atau digunakan sebagai medium pengantara termasuk dalam kategori barangan ribawi.

2. Sama kategori bermaksud barangan yang termasuk dalam kategori yang sama contohnya gandum dan kurma tergolong dalam kategori makanan meskipun jenisnya berbeza. Dua barangan yang sama kategori tidak semestinya sama jenis tetapi dua barangan yang sama jenis adalah dua barangan yang sama kategori.
Justeru, sekiranya A menjual kepada B sekilo kurma dengan dua kilo gandum maka penyerahan kurma dan gandum tersebut mestilah dilakukan dalam masa yang sama yakni waktu akad. Sekiranya terdapat penangguhan penyerahan salah satu barangan maka berlakulah riba.

3. Sama jenis bermaksud barangan yang sama kategori dan sama pula jenisnya meskipun berbeza kualitinya. Contohnya, emas 999 dan emas 912 adalah termasuk dalam kategori yang sama iaitu mata wang dan jenisnya pula sama iaitu emas mekipun kualitinya berlainan kerana emas 999 lebih tinggi ketulenannya berbanding emas 912.
Justeru, sekiranya C ingin menjual 5 gram emas 999 dengan emas 912 makan berat emas 912 itu mestilah 5g juga, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang kerana emas 999 dan emas 912 meskipun berbeza ketulenan tetapi tergolong dalam jenis yang sama.

4. Tambahan ke atas hutang disebabkan oleh penangguhan bermaksud apabila seseorang perlu membayar sesuatu hutang lebih daripada apa yang dipinjamnya selepas tamatnya suatu tempoh yang dipersetujui oleh si penghutang dan pemiutang (pemberi hutang).

Kesimpulan
Setelah kita memahami makna riba maka dapatlah kita ketahui bahawa riba itu boleh berlaku dalam urusan jual beli, pertukaran barang (barter) atau hutang piutang.
Dalam bahagian kedua tajuk yang sama kita akan melihat pula jenis-jenis riba. Bersambung...

Thursday 29 August 2013

Riba dan Perbankan Islam (Bahagian 1: Produk Deposit)

 Pada kali ini kita akan membincangkan pula soal adakah perbankan Islam terpelihara daripada riba. Masih ramai dalam kalangan masyarakat di luar sana yang masih ragu-ragu dengan kaedah operasi produk perbankan Islam dan mereka tidak yakin bahawa produk perbankan Islam itu terpelihara daripada riba.


Memandangkan terdapat terlalu banyak produk yang ditawarkan oleh bank Islam maka dalam post kali ini kita akan menjerumuskan perbincangan kita kepada produk-produk deposit terlebih dahulu sebagai permulaan. Produk deposit merangkumi akaun simpanan (saving account) dan akaun pelaburan (investment account).


1. Akaun Simpanan
Di Malaysia, secara umumnya akaun simpanan yang ditawarkan di bank Islam adalah berasaskan konsep wadi'ah yad dhamanah. Di sini kita akan melihat bagaimana bezanya akaun simpanan di konvensional bank dengan akaun simpanan di bank Islam.

Di konvensional bank, apabila pelanggan memasukkan duit ke dalam akaun simpanannya, pelanggan dianggap sebagai pemiutang dan bank yang menerima wang tersebut dianggap sebagai penghutang. Justeru bank bertanggungjawab untuk memulangkan wang yang dihutangnya kepada pelanggan beserta faedah  sebagaimana yang telah ditetapkan daripada awal pembukaan akaun simpanan tersebut. 


Sekiranya anda sudah betul-betul memahami apakah itu riba pastinya anda akan dapat mengesan bahawa faedah yang diberikan oleh bank konvensional itu adalah riba kerana kontrak yang digunapakai antara pelanggan dan bank adalah kontrak hutang-piutang. Pelanggan menerima jumlah yang lebih daripada apa yang dipinjamkannya kepada bank dan jumlah yang lebih itulah yang dikira sebagai riba.

 Jadi timbul pula persoalan bagaimanakah riba tidak berlaku dalam perbankan Islam sedangkan rata-rata bank Islam juga turut memberi faedah kepada pelanggan.

Jawapannya ialah pada kontrak yang digunakan. Apabilah pelanggan memasukkan duit ke dalam akaun simpanan di bank Islam, pelanggan sebenarnya telah mengamanahkan sejumlah wang kepada bank untuk dipegang. Jadi pihak bank bertindak sebagai pemegang amanah. Bank Islam kemudiannya menggunakan wang tersebut bagi tujuan pelaburan. Perlu diingat, disebabkan kontrak yang termeterai antara pelanggan dan bank adalah kontrak amanah, maka pelanggan tidak berhak mendapat apa-apa bahagian daripada keuntungan yang diperolehi oleh bank daripada pelaburan yang dilakukan meskipun bank melabur menggunakan wang pelanggan. 

Dalam masa yang sama, bank bertanggungjawab untuk memulangkan wang yang dipegang itu kepada pelanggan sekiranya dituntut. Disebabkan bank menggunakan wang pelanggan, bank mesti menjamin (dhaman) untuk memulangkan keseluruhan wang yang disimpan tanpa mengira sama ada bank mendapat untung atau rugi dalam pelaburannya. Bank turut memberi faedah yang berasaskan konsep hibah yakni hadiah kepada pelanggan sebagai tanda terima kasih dan galakan kerana menggunakan perkhidmatannya. 

Dalam situasi ini, tidak berlaku riba kerana kontrak yang termeterai bukanlah kontrak hutang-piutang malah faedah yang diberikan oleh bank Islam itu adalah bergantung kepada budi-bicara mutlak pihak bank. Pelanggan tidak berhak menuntut hibah tidak seperti di konvensional bank di mana pelanggan berhak menuntut faedah tahunan (interest) kerana di konvensional bank, pemberian faedah itu adalah termasuk daripada sebahagian daripada kontrak dan menjadi kewajipan bank untuk menunaikannya

2. Akaun Pelaburan
Dalam akaun pelaburan pula, secara majoritinya kontrak yang digunakan oleh bank Islam adalah kontrak mudharabah manakala di bank konvensional, kontrak yang digunakan masih lagi kontrak hutang-piutang.

Konsep sama yang berlaku di akaun simpanan di konvensional bank digunapakai untuk akaun pelaburan yakni kontrak hutang-piutang. Cuma bezanya ialah di akaun pelaburan, jumlah faedah yang ditawarkan lebih tinggi kerana pelanggan perlu menyimpan wang di bank untuk suatu tempoh yang tertentu tanpa boleh mengeluarkannya. Namun, faedah yang diperolehi pelanggan tetap berupa riba kerana kontrak yang digunakan adalah kontrak hutang-piutang. Setiap pertambahan yang berlaku sebagai ganti masa adalah riba.

Sebaliknya di bank Islam, apabila pelanggan membuka akaun pelaburan di bank, pelanggan sebenarnya telah menjadi rakan kongsi kepada bank dalam pelaburan. Ini bermakna wang yang dimasukkan oleh pelanggan akan digunakan sebagai modal pelaburan dan bank akan bertindak sebagai pekerja yang akan melaburkan wang tersebut dalam sektor-sektor pelaburan yang dibenarkan syara'. 

Keuntungan yang bakal diperolehi akan dikongsi secara bersama oleh pelanggan dan bank pada kadar/peratusan yang ditetapkan. Faedah yang diperolehi pelanggan sebenarnya adalah bahagiannya daripada perkongsian keuntungan yang terhasil daripada pelaburan tersebut. Maka dengan sebab itu tidak wujud riba dalam akaun pelaburan di bank Islam.

http://syfadh.blogspot.com/2013/02/riba-dan-perbankan-islam-bahagian-1.html