Showing posts with label Insurans. Show all posts
Showing posts with label Insurans. Show all posts

Monday, 9 September 2013

Perbezaan Takaful dan Insurans

Suka saya untuk kongsikan sebuah artikel yang ditulis oleh Mohamad Faizul Bin Ibrahim dalam blognya http://www.ideafaizul.com/idea/perlindungan/beza-takaful-dan-insurans/. Dalam dunia kewangan peribadi, kita sering kali ditawarkan untuk menyertai pelan takaful  atau insurans? mungkin kita rasa bahawa takaful  dan insurans adalah sama. Persoalannya mengapakah sebahagian menyebut takaful dan sebahagian menyebut insurans?  Mengapa insurans dan takaful tidak dinamakan atas satu nama sahaja?

Kalau dilihat objektif kedua-dua pelan ini adalah sama tetapi beberapa perbezaan sudah dijelaskan oleh ulama Islam. Perbezaan utama antara kedua-dua pelan ini adalah AKAD atau dalam bahasa sekarang dipanggil KONTRAK. Sebelum wujudnya takaful di pasaran Malaysia ulama Islam cuba untuk meneliti pelan insurans sama ada mengikut muamalah Islam atau tidak. Setelah diteliti akad / kontrak insurans adalah kontrak JUAL BELI. Jual beli memang diharuskan oleh Islam tetapi mesti memenuhi rukun jual beli mengikut Muamalah Islam. Dalam jual beli mesti ada PENJUAL, PEMBELI, AKAD (PERSETUJUAN JUAL BELI TERSEBUT) dan BARANG YANG DIBELI. Maka menjadi tanda tanya kepada kita apakah barang yang dibeli dalam pelan insurans. Adakah barang tersebut polisi yang bernilai jutaan ringgit? atau kematian? atau nasihat? Maka di situ lahirlah beberapa perkara yang tidak dibenarkan dalam Islam

1. Riba – dalam insurans riba akan berlaku apabila pertukaran wang berlaku di antara wang caruman peserta yang sedikit diganti dengan wang manfaat yang dibayar oleh syarikat dengan nilai lebih tinggi. Elemen riba turut wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan pelaburan insurans biasanya tidak dipantau oleh Jawatankuasa Syariah

2. Maisir (Judi) – dalam kontrak insurans wujud bilamana:

Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya.
Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku.
Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima
3. Gharar (tak pasti) -Kontrak Insurans mengandungi unsur gharar kerana apabila tidak berlaku tuntutan, satu pihak (syarikat insurans) akan mendapat semua keuntungan (premium) sementara satu pihak lagi (peserta) tidak mendapat sebarang keuntungan.

Pada 15 Jun 1972 , Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam persidangan yang kelimanya telah memutuskan iaitu insurans nyawa sebagaimana yang dijalankan oleh syarikat-syarikat insurans yang ada pada masa ini adalah suatu muamalah yang fasid (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba.

PENYELESAIAN

Para ulamak telah sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti kepada Insurans Konvensional. Akad / Kontrak DERMA  (Tabarru’) menjadi teras utama yang membina paksi Takaful. Dalam konteks Takaful setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang ikhlas ketika menderma bagi membantu sesama para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah. Dalam erti kata lain yang lebih tepat, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka ketika ditimpa kemalangan.

Jadual berikut adalah beberapa perbezaan antara insurans dan takaful
INSURANSTAKAFUL
Kontrak Jual BeliKontrak Tabbaru’ ( Derma & sumbangan ) yang disertakan dengan pelaburan.
Peserta membayar premium kepada syarikat insuransPeserta membuat caruman ke dalam takaful. Peserta saling menjamin sesama sendiri di bawah skim takaful.
Syarikat insurans bertanggungjawab membayar manfaat insuran seperti dijanjikan daripada asetnyaSyarikat Takaful bertindak sebagai pemegang amanah dan membayar manfaat  daripada kumpulan wang peserta
Pelaburan kumpulan wang bebas tanpa sebarang kekangan ShariahPelaburan kumpulan wang Takaful hanya dilaburkan dalam instrumen yang selari dengan Shariah
Wang peserta dianggap wang syarikat insurans dan dimilki olehnya sejurus dibayar oleh peserta.Wang peserta tidak dikira sebagai wang syarikat malah ia diasingkan dan tidak dimiliki oleh syarikat
Pencarum tidak berhak untuk mendapat sebarang bahagian dari lebihan untungLebihan untung dipegang oleh tabung untuk dibahagikan semula kepada peserta

Dengan penggunaan derma ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur riba’ gharar dan maisir

————————————————————————————–

*Nota tambahan dari saya

Tidak dinafikan sesetengah pihak tetap dengan pendirian yang menyatakan insurans konvensional itu harus walaupun sudah ada alternatifnya iaitu takaful. Mereka menyatakan subjek matter atau barang yang menjadi jual beli adalah “Jaminan”. Walaupun begitu menjadikan “jaminan” sebagai barang tukaran adalah tidak tepat dan tidak memenuhi kriteria sebagai al-mal dan manfaat. Lazimnya sesuatu jaminan itu imbuhannya adalah upah dan bukan harga bagi jaminan itu sendiri.

Harus juga dilihat Jaminan itu dalam bentuk wang. Maka tukaran tidak sama nilai menjadikannya riba.

sesetengah pihak turut menyatakan tiadanya gharar kerana menggunakan “jaminan” sebagai subject matter sedangkan jaminan berkenaan hanya muncul apabila tuntutan dibayar. Jadi wujud juga gharar dari sudut penyerahan barangan. Boleh jadi cepat, lambat atau langsung tidak boleh diserahkan akibat tidak berlakunya sebarang tuntutan.

Disebabkan telah wujudnya sistem yang lebih baik dan menepati kehendak syariah, maka eloklah pihak-pihak berkenaan meninggalkan muamalah fasid yang sedang mereka usahakan. Dengan ilmu kewangan dan teknikal yang dimiliki eloklah jika digunakan untuk memartabatkan kewangan islam di negara ini.

wallahua’lam

Tuesday, 3 September 2013

Insurans Menurut Pandangan Islam

Mengikut fakta pada 15 Jun 1972 , Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah memutuskan bahawa insurans (konvensional) itu haram kerana terdapat perkara-perkara yang tidak selari dengan ajaran Islam atau pun terlibat dengan perkara yang Islam larang. Kemusykilannya di sini, kenapa maklumat atau fatwa nih tak sampai kepada masyarakat sedangkan fatwa telah pun diputuskan? Itu mungkin urusan JAKIM dan Majlis Fatwa.

Punca Pengharaman
Insurans konvensional diputuskan haram atas 3 sebab:
  1. Gharar – Ketidakpastian
  2. Maisir Judi
  3. Riba
Gharar (Ketidakpastian)
Dalam Islam sesuatu kontrak jual beli mestilah atas perkara yang jelas dan pasti. Sebagai contoh Ahmad ingin membeli lembu daripada Ali. Ali menyatakan lembu yang Ahmad ingin beli ada di dalam sekumpulan lembu tanpa menunjukkan secara khusus lembu yang ingin dijual kat Ahmad. Lembu yang gemuk ke, kurus ke, kecik ke, tak tau. Jika Ahmad membayar juga duit untuk membeli lembu itu (maka dalam Islam), kontrak atau akad jual beli tidak sah dan haram sebab terdapat unsur gharar (tak jelas). Prinsip ini diguna pakai untuk semua urusan jual beli. 
Dalam insurans konvensional, kontrak yang berlaku antara pencarum insurans dengan syarikat insurans ialah kontrak jual beli.  Kontrak jual beli yang berlaku itu ialah si pembayar membeli risiko daripada syarikat Insurans dengan membayar setiap bulan. Ini dengan harapan jika berlaku risiko dia akan dapat pampasan. Benda yang dibeli adalah risiko, sedangkan kita memang tau risiko adalah satu perkara abstrak atau subjektif. Risiko inilah yang membuatkan kontrak jual beli insurans tadi tak sah dan haram di sisi Islam.
Maisir Judi
Para ulama yang bersidang memutuskan insurans konvensional mengandungi unsur Judi. Sebagai contoh pelangagan insurans membayar RM 100 setiap bulan dengan harapan apabila terjadi sesuatu ke atasnya, dia akan mendapat RM 100,000. Konsep ini adalah konsep judi. Ini sama seperti orang tikam nombor ekor di Sport TOTO. Dia tikam RM 10 dengan harapan (kalau kena) dia akan dapat sejuta.
Konsep judi ialah sesuatu pembayaran yang sedikit membolehkan kita mendapat hasil yang banyak dengan tidak tahu cara mana yang membolehkan dia mendapat duit yang banyak.
Riba
Riba yang dimaksudkan berlaku di sini ialah contohnya dalam masa setahun Abu membayar RM 1,200 kepada syarikat insuran. Masuk tahun kedua Abu meninggal dunia. Mengikut perjanjian, syarikat insurans perlu membayar pampasan sebanyak RM 100,000. Maka lebihan dari RM 1,200 (100,000 – 1200 = 98,800) dikategorikan sebagai riba oleh ulama’.
Pilihan Yang Ada



Pilihan yang kita ada ialah sistem Takaful. Takaful (dari bahasa Arab) yang mana kata asas dia Kafala bermaksud jamin dan Takaful saling jamin-menjamin. Maknanya setiap orang yang menyertai Takaful, dia memang dah berniat untuk menyertai kumpulan yang sentiasa saling jamin-menjamin. Ia bermaksud jika terjadi sesuatu pada orang dalam kumpulannya dia redha duitnya digunakan sedikit bagi membantu orang yang ditimpa musibah itu.
Dalam sistem Takaful ada satu akaun yang dinamakan Akaun Khas Peserta yang bertindak sebagai Dana Takaful bagi membantu mangsa-mangsa yang ditimpa musibah. Setiap orang yang menjadi peserta Takaful telah bersedia untuk mendermakan atau menyedekahkan sebahagian daripada wang yang dimasukkan setiap bulan ke dalam tabung Akaun Khas Peserta dengan peratusan tertentu melalui konsep muamalat Islam yang dinamakan Tabarru’at (derma atau sedekah kepada yang memerlukan). Maka tidak berlaku kontrak jual beli risiko seperti insurans konvensional. Jika insurans konvensional menggunakan konsep Tabarru’, maka secara automatik ia boleh jadi halal. 
Apabila tiada unsur keraguan (gharar) dan dari segi konsep asas dah jelas, maka tiada unsur Riba dan judi dalam Takaful. Memang sudah jelas ada perjanjian atau akad setiap peserta Takaful untuk sama-sama bantu-membantu dan menjamin sesama sendiri. Sekiranya berlaku musibah kepada setiap ahli peserta yang membuat perjanjian, Pihak Takaful Nasional atau Takaful Malaysia hanya bertindak sebagai orang tengah atau pihak yang menguruskan proses pengumpulan wang derma atau sedekah para peserta yg berada dalam Akaun Khas Peserta. 
Satu lagi perkara yang agak penting ialah berkenaan dengan pelaburan yang dilakukan oleh syarikat insurans yg kita sertai. Ada insurans konvensional yang melabur dalam perniagaan arak untuk mendapat keuntungan. Sebagai contoh Great Eastern, ada melabur ke kaunter saham Carlbergs. Walau bukan semua dilaburkan ke kaunter arak tetapi jelas ia bercampur antara kaunter haram dan halal.
Majlis Pengawasan Syariah
Perlu ditegaskan di sini, syarikat insurans Islam seperti Takaful Malaysia dan Takaful Nasional, mereka mempunyai satu badan khas untuk memantau perlaburan dan perjalanan pengurusan syarikat Takaful itu. Ini supaya mereka tidak lari daripada syariat Allah. Takaful Nasional contohnya, pengerusi Majlis Pengawasan Syariahnya ialah Dato Hj Harussani bin Zakaria, Mufti Perak Darul Ridzuan. Majlis ini juga dianggotai oleh beberapa tokoh lain yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang khususnya ilmu agama dan muamalat Islam.
Dalam Takaful Nasional ade 3 peringkat Majlis Pengawasan Syariah yang membuat pemantauan ke atas segala pelaburan yang dibuat oleh Takaful:
  1. Majlis Pengawasan Syariah Takaful Nasional
  2. Majlis Pengawasan Syariah BSKL
  3. Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara Malaysia
Katakan Takaful melabur di kaunter arak (Tiger, Carlberg dll) tetapi terlepas daripada pemantauan atau pengetahun Majlis Pengawasan Syariah Takaful, Takaful mesti melalui pemantauan MPS BSKL pula. Jika MPS BSKL terlepas pandang juga, dia akan dipantau pula oleh MPS Bank Negara Malaysia. Tiada sesiapun boleh terlepas daripada MPS Bank Negara sama ada syarikat insurans atau pun bank-bank di seluruh Malaysia.  Bank Negara Malaysia bertanggungjawab memantau semua aktiviti dan perjalanan institusi kewangan, perbankan dan insurans di Malaysia. Jika MPS Bank Negara mendapati Takaful Nasional melabur di kaunter arak, maka lesen Takaful akan ditarik balik dan tidak boleh menjalankan perniagaan insurans sampai bila bila.
Majlis seperti ini tiada dalam syarikat insurans konvensional. Pelaburannya ke mana, Wallahua’lam (hanya Allah yang tahu). Begitu juga dengan pelaburan ASN, ASB dan lain-lain, pelaburannya memang terlibat dengan kaunter haram (kaunter arak dan judi). Walaupun memang ada kaunter halal tetapi peratus ke arah yang haram lebih tinggi. Adalah dinasihatkan kepada sesiapa yang belum melabur lagi lebih baik tidak melabur dan sesiapa yang sudah melabur dinasihatkan mengeluarkan pelaburannya.  Melainkan kalau memang ada niat nak sumbangkan modal ke arah perniagaan yang haram.
Perlu Memilih
Begitu juga dari aspek perbankan. Untuk pinjaman perumahan atau kereta, carilah bank yang keislaman sistemnya. Sekarang ini sudah ada Bank Islam sendiri atau bank-bank konvensional lain yang membuat sistem pinjaman secara Islam. Pilihan sudah ada, keputusan di tangan anda.
Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang kurang atau tak berminat pun nak masuk Insurans Hayat ataupun Takaful Keluarga. Tetapi setidak-tidaknya kita semua mesti ingin memiliki kenderaan sendiri seperti motor dan kereta. Untuk insurans kenderaan pilihlih yang memiliki sistem Islam. Takaful Malaysia, Takaful Nasional dan Takaful Ikhlas ada menyediakan Takaful Am untuk kenderaan. Jika insurans sedia ada memang dah konvensional, teruskan. Namun apabila sampai masa nak perbaharuinya, carilah insurans yang Islamik. Nanti apabila kemalangan (minta dijauhkan) kenderaan kita menggunakan insurans yang halal di sisi Allah.
Sekarang ini terpulang atas diri masing-masing, kalau kita sayangkan Islam dan Iman yang ada pada diri kita maka kita akan pastikan diri kita tidak terlibat langsung dengan perkara-perkara haram atau pun syubhat. Ini perlu dipastikan dari semua aspek kehidupan, sama ada ibadah, makanan, pakaian, harta pencarian, pergaulan, politik pemerintahan, undang-undang, sistem perbankan dan insuran serta banyak lagi. Mungkin kita tidak elak kesemuanya sekali, sebagai contoh PTPTN tetapi setakat yang kita mampu cuba elakkan sedaya upaya. Allah tidak memandang kepada hasil sesuatu tetapi Allah memandang kepada usaha kita yang bersungguh-sungguh untuk membersihkan diri masing masing dari seluruh aspek.
Penutup


Sebagai kata penutup renung perbandingan mudah ini. Kalau Bank konvensional terima pakai Islam, kenapa perlu ada system perbankan Islam macam Bank Islam dan Bank Muamalat dan Bank Rakyat?Kalau sistem insurans konvensional Islam terima, kenapa perlu ada system Takaful di Malaysia? Alhamdulillah ada golongan yang prihatin dan berusaha kuat mewujudkannya.
Jadilah seorang Islam yang benar-benar beriman kepada Allah dan agamanya. Juga sentiasa sensitif dengan segala perkara yang melibatkan kehidupan kita seharian supaya iman dan amal ibadah kita tidak dicemari oleh unsur-unsur yg Allah murka dan larang. Ingat, kehidupan kita bukan sekadar atas dunia ini. Nun jauh di sana, akhirat bakal menanti cuma tak tau bila masa. Sampai masa takkan sorang pun terlepas. Setiap saat dan setiap perlakuan kita akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.
Mudah-mudahan dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah dan Allah sentiasa menaungi kita dengan rahmat dan redha-Nya.

http://yahamim.wordpress.com/ilmu/insurans-menurut-pandangan-islam/