Showing posts with label Perbankan Islam. Show all posts
Showing posts with label Perbankan Islam. Show all posts

Monday, 9 September 2013

Soal Jawab: Salah Faham Bank Islam Dan Hukum Menggunakan Bank Konvensional

By: Fathullah Al-Haq (Universiti Yarmouk)

Soalan:

Adakah jatuh hukum haram sekiranya terdapat bank Islam di dalam sesebuah negara, tetapi tetap menggunakan khidmat bank Konvensional walaupun kononnya tidak mengambil faedah yang diberikan oleh pihak bank.


Jawapan:

Saya masih ingat lagi mengenai perbualan saya dengan seorang jutawan ternak sewaktu cuti raya yang lepas. Ketika itu sedang menghadiri kenduri majlis kesyukuran kawan saya yang hendak sambung belajar ke luar negara. Beliau (Uncle) merupakan jutawan muda yang sangat berjaya kerana perniagaannya bukan sahaja di Malaysia, malah menjangkau di beberapa buah negara di barat. Apabila bersembang dengan beliau, terlalu banyak pengalaman dan teori perniagaan yang beliau berikan. Sungguh, saya katakan bahawa beliau adalah seorang yang sangat kritis dalam berfikir dan merancang perniagaan.

“Kenapa produk bank Islam lebih mahal daripada bank konvensional, bukan ke sistem bank Islam adalah untuk memudahkan masyarakat Islam dan membantu kebajikannya?” tanya Uncle tersebut tiba-tiba ketika sedang berbual.

Saya sebenarnya tidak tahu apa niatnya sebenar, adakah mahu provoke saya yang mengaji dalam bidang pengajian Islam atau sebaliknya. Maka saya menjawab persoalan tersebut.

“Sebenarnya bank Islam masih baru lagi menjalankan operasinya, dan uncle pun sedia maklum mengenai sejarah kewujudannya. Maka sebagai ahli perniagaan, Uncle perlu tahu bahawa produk yang hendak ditawarkan masih baru dan terikat kepada pasaran serta kemampuan semasa sesebuah badan korporat itu. Hal ini berbeza dengan bank (badan korporat) yang berunsurkan faedah(interest), mereka sudah bertapak dengan begitu lama, dan kedudukan mereka sangat kukuh kerana sudah berpuluh tahun dibangunkan, tidak banyak persaingannya sebelum ini, maka tawarannya lebih murah berbanding dengan produk Perbankan Islam. Jika kita perasan, di dalam prinsip ajaran Islam, Islam sangat adil kerana menjaga kebajikan ke dua-dua belah pihak, tidak hanya menjaga kepuasan pelanggan (customer), malah menjaga juga kebajikan pihak penjual ” saya cuba memberi gambaran awal secara keseluruhan.

“So, why ada seorang mufti ni dia cakap abaikan sahaja Perbankan Islam jika terlalu mahal” ujar beliau lagi.

Saya sangat terkejut dengan ungkapan ini sebenarnya.

“Siapakah mufti tersebut? Jika dia mengeluarkan pendapat seperti itu, sebenarnya dia sedang menyembelih syarikat korporat Islam yang telah mendapat keizinan patuh syariah daripada majlis fatwa kebangsaan” saya menjawab.



Salah Faham

Hari ini kebanyakan masyarakat salah faham mengenai sistem Perbankan Islam, mereka hanya nampak bahawa sistem Perbankan Konvensional murah dan lebih terjamin. Bukan itu sahaja, malah mereka menuduh bank Islam mengambil kesempatan ke atas orang Islam. Ini adalah persepsi yang jauh menyimpang daripada hakikat yang sebenar. Contoh yang saya boleh berikan ialah apabila seseorang membuat pembiayaan rumah mengikut sistem Islam dengan kadar 7.80% oleh pihak bank, manakala sistem konvensional hanya mengenakan pembiayaan dengan kadar 5.80% sahaja. Teknik yang tidak disedari sebenarnya, mereka tidak memahami cara kiraan yang betul, menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah mengenai sistem syariah.

Sebenarnya, sistem perbankan Islam hanya mengenakan kadar 7.80% dari tahun pertama sehingga ke tahun 30 sebagai contoh, kadar ini tidak akan berubah sehinggalah jangka masa 30 tahun tersebut. Manakala Bank Konvensional tidak menawarkan bayaran bulanan kekal dengan kadar tersebut sepanjang 30 tahun pembiayaan, bermakna ia akan berubah mengikut keadaan semasa.

Jika kita sedar tentang hakikat pinjaman perumahan atau produk selainnya yang ditawarkan oleh pihak bank konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah untuk dua tahun pertama, tetapi pada tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar keputusan  BLR (Base Lending Rate) atau kadar pinjaman asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25% (sebagai contoh). Bagaimana jika % BLR melambung tinggi seperti 13% sebagaimana yang berlaku semasa krisis ekonomi. Bukankah pada waktu itu, kadar faedah (riba’) yang perlu dibayar oleh pelanggan juga sangat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank yang menjalankan sistem Perbankan Islam kerana di awal kontrak lagi telah ditetapkan harga jualannya (akad), tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati untuk memberi rebate (ibra’) atau diskaun jika pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal (EARLY SETTLEMENT). Perlu diketahui bahawa BLR merupakan kadar yang tidak menentu dan boleh melonjak naik bergantung pada keadaan ekonomi semasa.

Ini bermakna kenyataan yang menuduh sistem Perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi kepada pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan boleh dipertikai. Malah jika di lihat pada kadar pembiayaan  yang dikenakan oleh sistem Perbankan Islam untuk produk-produk pembiayaan perniagaan & pembiayaan perumahan juga membuktikan kadarnya adalah setara dengan kadar yang ditawarkan oleh sistem bank Konvensional. Selain itu juga, kos pembiayaan mempengaruhi beberapa perkara berikut seperti kadar pengurusan minimum dalam sesebuah bank Islam, prestasi dan kekuatan sesebuah organisasi yang memohon pembiayaan serta potensi dan risiko perniagaan yang diceburi.

Oleh itu, kita perlu faham bahawa konsep asas yang ada dalam Islam ialah adil, maka apa-apa transaksi yang berlaku antara dua pihak hendaklah jelas semasa kontrak (akad) yang pertama, jika kita fahami perkara ini dengan lebih jelas bahawa Islam tidak menzalimi kepada sesiapa pun sama ada pelanggan atau pun peniaga. Kalaulah kita mengambil sistem Perbankan Konvensional, sudah tentu kita akan mendapat faedah dengan kita tidak sedari, itulah yang dinamakan (riba’) yang sudah jelas pengharamannya di dalam al-Quran dan hadis nabi SAW atau pun membawa kepada kerugian jika keadaan ekonomi semasa tidak stabil, dengan ini pihak bank akan menaikkan kadar peratus bayaran kepada pelanggan tanpa sedar.

Masih tidak puas hati

Walaupun kita sudah mengetahui mengenai hakikat perjalanan sistem syariah dan konvensional. Ada juga sebahagian yang masih tidak berpuas hati lagi.

“Kami hendak bank Islam bukan hanya setara dengan bank Konvensional, malah kami hendak bank Islam jauh lebih murah berbanding sistem konvensional. Bukan ke sistem syariah membantu kebajikan masyarakat?” suara-suara yang tidak puas hati lagi kedengaran.

Situasi mudah yang saya boleh berikan ialah apabila kita menghantar anak kita ke sekolah agama swasta sebagai contoh (pilihan utama ibu bapa masa kini), maka ibu bapa diwajibkan membayar yuran sekolah yang lebih sedikit daripada sekolah biasa. Kalaulah pihak sekolah agama tidak mengambil yuran lebih daripada pihak ibu bapa, sudah tentu ia akan menjejaskan pengurusan sekolah tersebut seperti gaji guru, bil air dan elektrik, makanan serta sebagainya. Analogi mudah yang saya berikan di sini ialah mengenai pengurusan kewangan di sesebuah institusi.

Demikian jugalah pada sistem Perbankan Islam, harga yang ditawarkan mengikut kemampuan dan keperluan pasaran. Seperti saya katakan tadi, Islam amat menekankan konsep keadilan kepada ke dua-dua belah pihak iaitu pembeli dan penjual. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga. Oleh itu saya akan membawa beberapa fakta mengenai pengurusan sesebuah institusi bank Islam seperti berikut:


  1. Bank-bank yang menjalankan sistem perbankan Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga bermatlamatkan keuntungan agar organisasi dapat pergi lebih maju lagi kehadapan. Bagi mencapai sasaran itu, bank yang menjalankan sistem Perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf oleh syariah, ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan perkhidmatan percuma.
  2. Bank-bank yang melaksanakan Perbankan Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik daripada hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang di beri secara percuma.
  3. Bank-bank yang melaksanakan Perbankan Islam mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti agar dapat dikekalkan bagi meneruskan “bank efficiency” dan “its competitiveness”.
  4. Bank-bank yang melaksanakan Perbankan Islam juga perlu membayar seluruh kos operasi bangunannya dan peralatannya. Justeru, jika khidmat yang ditawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin bank yang melaksanakan Perbankan Islam akan terus berkembang seperti Perbankan Konvensional yang sudah lama bertapak.

Oleh itu, umat Islam perlu sedar bahawa hakikat syarikat korporat yang berteraskan konvensional sudah terlalu lama bertapak dan sudah memakan terlalu banyak keuntungan, maka mereka lebih kuat kedudukannya berbanding dengan Perbankan Islam yang baharu sahaja bertapak. Maka menjadi kewajipan bagi masyarakat Islam untuk memilih Perbankan Islam agar pengurusannya terus meningkat dan maju sejurus mengurangkan lagi kos pengurusannya jika sudah teguh dan kuat.

Perkara ini juga boleh dibuktikan dengan statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia pada tahun 2005 yang menyebut bahawa aset ke semua bank-bank Islam di Malaysia hanya sebanyak RM 111.8 Billion, dan ianya hanya 11.6 peratus kecil daripada keseluruhan aset bank-bank di Malaysia. Ini menunjukkan bahawa bank Konvensional sangat menguasai ekonomi berkali-kali ganda. Walaubagaimanapun, kita perlu bersyukur dengan kehadiran sistem-sistem Islam yang semakin banyak meresap ke dalam bank dan prestasi keuntungan bank-bank Islam ini dicatatkan meningkat dari tahun ke tahun.

Manfaat lain

Jika kita menggunakan sistem perbankan Islam, kita sebenarnya sudah membantu saudara-mara seakidah kita secara tidak langsung. Kita lihat balik hasil keuntungan daripada pelaburan pihak bank Islam bukan hanya untuk institusi mereka sahaja, malah mereka diwajibkan membayar zakat perniagaan setiap tahun, bukankah itu memajukan lagi ekonomi orang Islam secara amnya. Bukan itu sahaja, malah kebajikan lain juga telah diperuntukkan oleh pihak bank Islam seperti menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada pelajar-pelajar, sedekah kepada orang miskin, menyumbang kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan sebagainya. Bank Konvensional tidak wajib bagi mereka untuk membayar zakat, malah kebajikan lain juga tidak diperuntukkan. Jika kita menggunakan sistem Konvensional, sebenarnya kita sudah mengayakan dan menguatkan lagi institusi yang jelas keharamannya.

Jika kita perhalusi lagi, apabila pihak bank mendapat keuntungan yang baik, maka ia juga akan menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun bank berkenaan sebagai contoh akaun (Al-Mudharabah), sudah tentu penyimpan (pelabur) akan mendapat pulangan yang baik. Demikian juga penyimpan yang menyimpan di akaun simpanan (Al-Wadiah). Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah’ yang lebih menarik. Ini juga salah satu bentuk bantuan tetapi ia jarang sekali disedari oleh orang ramai.

Selain itu, keuntungan yang diperolehi daripada pihak bank yang melaksanakan sistem Perbankan Islam akan membolehkan bank-bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datang. Kesannya adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di Perbankan Konvensional yang ingin berhijrah dari sistem Riba’ (haram) kepada sistem Kewangan Islam (sistem Allah). Ini merupakan satu jihad bagi memerangi sistem riba’ yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran dan hadis nabi SAW secara jelas.

Oleh itu, sekali lagi saya katakan bahawa umat Islam perlu menyokong produk Islam yang terjamin kehalalannya.

Sebab pengharamannya

1.    Sebab pertama, Allah swt telah berfirman di dalam Al-quran yang bermaksud:

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Al-Baqaroh: 75)

Ayat ini menjadi bukti yang sangat jelas bahawa umat Islam tidak boleh mengambil atau terlibat dengan sistem riba’.

2.    Sebab ke dua adalah dari firman Allah swt yang bermaksud:

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Al-Maidah: 2)

Di dalam Tafsir Ibnu Kasir menyebut: Allah swt menyuruh orang-orang yang beriman agar tolong-menolong dalam semua perkara kebaikan dan itulah dinamakan kebajikan, manakala meninggalkan perkara-perkara yang haram itu adalah taqwa. Allah menyuruh orang-orang beriman agar tidak tolong-menolong dalam perkara yang zalim, dosa, dan membawa kerosakan.

Adakah kita sedar bahawa sistem konvensional ini secara tersiratnya membawa banyak kezaliman ke atas manusia. Tetapi masih ramai yang tidak menyedarinya.

Walaupun kita tidak mengambil faedah yang diberi kononnya kerana ingin menikmati kemurahan produk-produk yang ada pada bank Konvensional, sebenarnya kita tidak sedar bahawa kita sedang membantu bank ini mengukuhkan lagi kedudukannya. Maka dengan keuntungan itu, mereka akan mengembangkan lagi sistem riba’ di atas muka bumi Allah swt ini. Jelas bahawa ayat ini melarang keras umat Islam membantu pihak yang melakukan kezaliman.



Kecuali

Hukum ini tidaklah secara mutlak ke atas individu dalam semua hal keadaan, kerana manusia hari ini sangat berhajat kepada bank untuk menyimpan harta mereka atau pun membuat pinjaman daripada pihak bank dan sebagainya.

Hukum haram tersebut boleh berubah kepada hukum harus jika orang Islam itu berada di negara barat sebagai contoh, yang mana negara itu tidak mempunyai sistem perbankan Islam, maka dia boleh menggunakan sistem konvensional dalam keadaan darurat itu.



Fenomena Pelik Umat Islam Sekarang

Apabila kita melihat sahabat kita yang berada di negara barat, mereka terpaksa membayar dengan kadar yang lebih mahal untuk mendapatkan makanan yang halal. Sebagai contoh ialah ayam yang disembelih mengikut syariah lebih mahal daripada ayam yang biasa.

Umat Islam hari ini lebih mengambil berat soal pemakanan daripada soal menggunakan produk-produk syariah. Ya, memanglah ke dua-duanya haram, tetapi kita perlu sedar bahawa hukum riba’ lebih berat daripada hukum memakan ayam yang tidak disembelih secara syariah sebagai contoh. Tetapi inilah yang menjadi masalah besar bagi umat Islam, hanya melihat dari sudut yang lebih kecil berbanding sudut yang sangat besar di depan mata.



Kesimpulan

Firman Allah swt yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Arro’du: 11)

Kita sering mengimpikan kemenangan Islam daripada pelbagai sudut sama ada dari segi politiknya, ekonominya, sahsiyahnya, akhlaknya, dan pelbagai lagi. Jika kita hendak melihat perubahan itu, maka diri kita perlu diubah dahulu iaitu menyokong apa-apa sahaja perkara yang menyumbang kepada kegemilangan ummah dan Islam.

Ianya sangat adil bukan, kita lihat pada waktu awal permulaan Islam, mereka berjihad dengan menginfakkan harta yang sangat banyak seperti sayidina Abu Bakar, Umar, dan ramai lagi, mereka juga mengangkat senjata untuk mempertahankan Islam. Maka pengorbanan itu juga perlu ada pada diri kita semua, tetapi dengan nisbah yang lebih kecil iaitu dengan menyokong produk-produk dan sistem-sistem yang ada pada Islam, itulah jihad kita pada hari ini.


Rujukan :-

http://myibrah.com/kewangan-islam
Sumber: http://fikrahhalaqah.com/

KAMI PILIH BANK ISLAM!

Ada Apa Dengan Duit?

Apabila masuk alam pekerjaan, kita akan deal banyak dengan duit. Bila sebut pasal duit, satu perkara yang kita tak boleh lari ialah isu HALAL dan HARAM berkaitan duit. Ini termasuklah cara kita mendapatkan duit, cara kita menyimpan duit, cara membelanjakan duit seperti pelaburan dan pengumpulan harta, dll.

Dalam hal ini, mesej asas yang ingin saya sampaikan ialah – SILA GUNAKAN KHIDMAT PERBANKAN/INSTITUSI KEWANGAN ISLAM dalam apa-apa pun urusan yang melibatkan duit. Perkara itu malahan menjadi kewajipan buat kita selaku umat islam, bukan satu alternatif seperti sangkaan ramai.

Ringkasnya, dalam dunia hari ini, ada perbankan islam dan perbankan konvensional. Bezanya, produk/servis perbankan islam adalah menepati syariah manakala produk/servis perbankan konvensional pula asasnya adalah riba.

Allah SWT telah secara jelas mengharamkan riba, seperti yang tercatat di dalam al-Quran yang maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba jika kamu orang beriman; Jika kamu tidak melaksanakannya, maka umumkanlah perang dari Allah dan Rasul-Nya. Tetapi jika kamu bertaubat, maka kamu berhak atas pokok hartamu. Kamu tidak berbuat zalim dan tidak dizalimi.”
(Surah al-Baqarah: 278 – 279)

Oleh kerana perbankan konvensional itu asasnya riba, maka sekaligus ianya menjadi satu sistem yang haram untuk kita gunakan. Lebih-lebih lagi kita yang berada di Malaysia, kita punya banyak ruang dan pilihan untuk memilih selain daripada perbankan konvensional iaitu sistem perbankan islam itu sendiri. Antaranya Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat Maybank Islamic, CIMB Islamic, HSBC Amanah, dan banyak lagi.






Jadi, tiada alasan lagi buat kita untuk terus ‘melekat’ pada perbankan konvensional!

‘To Create Awareness‘

Sebelum saya meneruskan, ingin saya tegaskan bahawa apa yang saya tulis ini bukan bermaksud untuk ‘mengajar’ sesiapa pun yang sedang membaca ini tentang topik perbankan. Sungguh saya tak layak.

Apa yang ingin dicapai ialah sekadar menimbulkan kesedaran (creating awareness) tentang isu ini dan untuk selanjutnya bolehlah merujuk kepada pakar-pakar dalam bidang ini (insyaAllah akan saya sertakan rujukan di akhir post ini).

Oleh kerana ramai orang sudah/bakal terlibat dengan transaksi pembelian kereta dan rumah, kita akan lihat CONTOH perbezaan antara bank konvensional dan bank islam dari aspek ini. Hal ini kerana, masih ramai yang beranggapan bahawa TIADA BEZA antara kedua-duanya.


Beza Perbankan Konvensional dan Islamik

Kalau ikut pada tulisan pakar-pakar kewangan islam, ada banyak perbezaan antara bank islam dan bank konvensional. Salah satunya ialah, jika kita menggunakan bank Islam untuk membiayai (financing) pembelian kereta/rumah, kita bukan PINJAM dari bank.

Apa yang berlaku, bank BELI dari penjual kereta/rumah (atas permintaan kita) dan kemudian MENJUALkannya kepada kita dengan harga pasaran + peratus untung (profit rate).

‘Profit rate’ yang diambil oleh bank islam TIDAK SAMA dengan ‘interest rate’ (bunga/riba’) yang dicaj oleh bank konvensional.

*memang silap la siapa yang ingat dua benda tu sama*


Kita lihat contoh:

[i] Bank Konvensional

*Harga pasaran sebuah kereta: RM 100,000

*Pinjam daripada bank konvensional dengan interest rate 2.4%,

- jumlah yang DIPINJAM: RM100,000

- jumlah BAYAR BALIK (secara ansuran): RM 102,400

- ansuran 9 tahun, sebulan bayar: RM 948

[Kes Lambat Bayar - sekadar contoh]

Setiap kali lambat bayar, dikenakan lagi interest sebanyak 3% sebulan.

- pada kali pertama lambat bayar – RM 948 + 3%: RM 976

- kalau 2 bulan berturut-turut lambat bayar – (RM 976 + 3%) + (RM 948 + 3%)

….dan seterusnya.

[!] TAKE NOTE: bayaran tambahan semakin bertambah setiap kali lambat bayar – ‘interest’ dikenakan ke atas ‘interest’

#Interest 2.4% dan 3% dijadikan SUMBER KEUNTUNGAN oleh pihak bank – ini adalah riba’ dan ianya HARAM di sisi syariah

[ii] Bank Islam

*Harga pasaran sebuah kereta: RM 100,000

*Beli daripada bank islam dengan profit rate 3.0%,

- bank BELI dari penjual kereta: RM 100,000

- bank JUAL kepada kita: RM 103,000

- bayar secara BERTANGGUH (atau guna akad SEWA kemudian BELI) selama 9 tahun, sebulan bayar: RM 954

[Kes Lambat Bayar - sekadar contoh]

- setiap kali lambat bayar akan dikenakan ‘denda’ sebanyak 1% sebulan.

- pada kali pertama lambat bayar – RM 954 + 1%

- kalau 2 bulan berturut-turut lambat bayar – (RM 954 + 1%) + (RM 954 + 1%)

[!] TAKE NOTE: bayaran tambahan adalah tetap (fixed) setiap kali lambat bayar

#Caj 1% ini adalah DENDA sebagai peringatan (sekadar untuk mendisiplinkan pembayar), bukan SUMBER KEUNTUNGAN pihak bank – caj denda ini harus di sisi syariah

#Caj 1% ini tidak boleh diambil oleh pihak bank dan harus mereka SEDEKAHKAN (kepada orang miskin, etc)

#Profit rate 3% adalah HALAL dan HARUS di sisi syariah kerana kita MEMBELI dengan harga yang kita persetujui (kalau kita tak setuju dengan ‘profit rate’ yang bank minta, tak ada paksaan untuk kita beli)


‘Profit Rate’ dan ‘Interest Rate’: Ada Bezanya

Ada yang kata, ‘profit rate’ yang diambil oleh bank islam lebih mahal berbanding dengan ‘interest rate’ bank konvensional (kononnya) – lalu membuat kesimpulan sistem perbankan islam itu ‘zalim’!

Zalim bukan disandarkan kepada ‘mahal’ atau ‘murah’ sesuatu itu.

Contoh:

Sehelai t-shirt Quiksilver 100% cotton:

- harga kos: RM 10
- harga jual: RM 80
- profit: RM 70

Sehelai t-shirt putih Pagoda 100% cotton:

- harga kos: RM 10
- harga jual: RM 15
- profit: RM 5

Adakah kita dizalimi apabila kita memilih untuk membeli t-shirt Quiksilver yang mengambil ‘profit rate’ yang amat tinggi?

Tidak, kerana hukumnya HARUS untuk penjual meletakkan berapa pun untung yang mereka mahu. (ada perbincangan ulama berapa limit untung yang diharuskan)

Kita memilih Quiksilver mungkin kerana kita yakin dengan kualitinya, atau kita suka branded-stuffs, dsb.

#Jadi, kalau kita beli kereta/rumah dengan pembiayaan melalui bank islam, kita tidak dizalimi jika kita bersetuju untuk membeli dengan ‘profit rate’ yang diambil oleh pihak bank.

(again, kalau tak setuju tak payah la beli kereta/rumah. Islam datang untuk memudahkan bukan untuk menyusahkan)

Zalim: Apa Yang Kita Fahami?

Kembali kepada isu ‘zalim’ atau tidak sesuatu itu, ianya bergantung kepada prinsip di sebalik sesebuah sistem itu. Dalam kes nak buat pinjaman untuk beli kereta/rumah dengan bank konvensional, kita menolak prinsip riba’ yang menjadi asas kepada sistem itu.

Riba’ itu ternyata menindas dan zalim. Kita pinjam sikit tapi kena bayar balik banyak. Itulah ZALIM.

Kalau kita banyak duit, kita takkan meminjam in the first place bukan?

Jadi, dalam islam konsep memberi pinjaman adalah dengan prinsip ingin MEMBANTU si peminjam. Kalau pinjamkan RM 10 tetapi diminta bayar balik RM 12, itu telah melanggar prinsip ingin MEMBANTU tadi. Sebab itulah di bank islam tiada khidmat ‘LOAN with interest’ (pinjaman dengan bunga) tetapi yang ada ialah JUAL-BELI.

Jelas dalam al-Quran bahawa Allah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba’.

Konflik: Kurang Yakin Dengan Perbankan Islam

Kepada yang tidak meyakini sejauh mana produk perbankan islam benar-benar menepati syariah, ketahuilah bahawa setiap bank yang menawarkan sistem perbankan islam ada PANEL SYARIAH mereka masing-masing (e.g. Bank Islam, Maybank Islamic, CIMB Islamic).

Jadi, dalam membuat keputusan sama ada sesuatu produk itu HARUS/HALAL/SAH dsb, ianya dibincangkan oleh panel syariah itu tadi. Mereka ini terdiri daripada para ulama’ (pakar) serta asatizah yang mempunyai background pendidikan agama.

Boleh check website bank yang ingin dirujuk untuk mengetahui kredibiliti setiap anggota panel syariah mereka. Sebelum kita ingin meragui keputusan panel syariah ini, lihatlah kembali diri kita, sejauh mana ilmu dan kefahaman agama yang kita punyai di dada untuk mempertikaikan mereka?

Kalau benar kita ada ilmu yang setanding atau lebih daripada mereka, DIPERSILAKAN untuk mencabar keputusan mereka. Malahan menjadi kewajipan untuk yang berilmu memperbaiki apa-apa kekurangan pada sistem perbankan islam yang sedia ada.

Apa-apa pun, selaku pengguna/orang awam, memadailah kita meyakini keilmuan para ulama’ dalam panel syariah ini dan mengambil apa yang mereka telah putuskan. Andai berlaku kesilapan, ia adalah tanggungjawab para ulama’ tadi kepada Allah di akhirat kelak.

Perlu Belajar Lagi

Apa yang ditulis sekadar kefahaman sendiri yang mungkin terbatas. Oleh itu, sahabat-sahabat yang lebih arif dalam bidang ini sangat dialu-alukan untuk tambah/perbetulkan mana yang tersilap. (moga Allah ampunkan mana part yang aku silap)

Apa yang ditulis ini lebih kepada ‘summary‘ jadi pasti ada lagi penjelasan lanjut beserta dalil al-Quran dan hadith yang diperlukan bagi benar-benar memahami dan meyakini setiap penetapan hukum yang berkaitan.

Mungkin di peringkat orang awam, rujukan yang baik untuk kita ialah tulisan Ustaz Zaharuddin (UZAR) melalui buku-buku karangan beliau dan wesbite: http://zaharuddin.net/. Antara buku karangan beliau ialah: ‘Riba dan Isu Kewangan Semasa’, ‘Panduan Perbankan Islam’, dll. Satu lagi blog menarik yang berkaitan ialah: http://www.islamicbankingway.com yang ditulis oleh seorang yang berpengalaman berkhidmat dalam perbankan islam.

Tentunya yang paling afdhal, kalau boleh menuntut ilmu dan berbincang secara terus dengan para ulama’ dalam bidang ini.

Penutup

Kalau kita rasa mendapatkan yang halal itu ‘berat’/'payah’/'leceh’/'menyusahkan’ tapi kita tetap berusaha untuk ambil yang halal, yakinlah yang Allah akan memberi ganjaran dan keberkatan atas segala kesusahan yang dialami demi ketaatan kepada-Nya.

Semoga bermanfaat, semoga Allah redha, semoga Allah berkati.

Allahu’alam.

Rujukan :-

http://myfikrah89sbs.wordpress.com/2012/12/25/kami-pilih-bank-islam/

SUMBER DANA PERBANKAN ISLAM DAN PENGGUNAAN DANA PERBANKAN ISLAM

3.1       Jadual : Sumber Dana Perbankan Islam

Kategori
Produk
Prinsip Islam
Modal Asas
Saham
Al-Musyawarah
Simpanan
Akaun Simpanan
Al-Wadi’ah yad Dhamanah

Akaun Semasa
Al-Wadi’ah yad Dhamanah
Pelaburan
Pelaburan Am
Al-Mudharabah

Pelaburan Khas
Al-Mudharabah
Pembiayaan
Pasaran Wang Antara Bank
Al-Mudharabah

3.2       Jadual : Penggunaan Dana Dalam Perbankan Islam

Kategori
Produk
Prinsip Islam
Rezab Berkanun &Keperluan Kecairan
Rezab
Sijil Pelaburan
Al-Wadiah Yad Dhamanah
Al-Qardhul Hasan
Al-Mudharabah
Al-Musyarakah
Pembiayaan
Biaya Projek
Jualan Aset
Pajakan Operasi
Pajakan Modal
Perkhidmatan
Bersindiket
Urusniaga Sekuriti
Hutang
Al-Mudharabah
Al-Musyarakah
Al-Bai Bithaman Ajil
Al-Musyarakah
Mutanaqisah
Al-Ijarah
Bai Al-Takjiri
Al-Ujr
Bai Al-Dayn
Pembiayaan Perdagangan
Surat Kredit

Surat Jaminan Modal Kerja

Bil Tukaran Bersekuriti
Bil Tukaran Bersekuriti
Untuk Export
Anak-anak Syarikat
Portfolia Pelaburan
Al-Wakalah
Al-Musyarakah
Al-Mudharabah
Al-Murabahah
Al-Kafalah
Al-Murabahah
Al-Bai Bithaman Ajil
Bai Al Salaam
Bai Al-Istisna
Bai Al-Istijrar
Al-Musyarakah
Al-Mudharabah
Bai Al-Wafa
Al-Rahn
Bai Al-Dayn
Bai Al-Dayn
Al-Musyarakah
Al-Musyarakah

Fungsi Perbendaharaan
Pengurusan Dana
Jangka Pendek Bank
-Akaun Pelaburan
-Sijil PelaburanKerajaan
-Bil Tukaran
-Dana Antara bank
-Tukaran Asing
Al-Mudharabah
Al-Qardhul Hasan
Bai Al-Dayn
Al-Mudharabah
Al-Sarf
Fungsi Sosial
Dana Zakat
Pinjaman Qardul Hasan
Perumahan Kos Rendah
Yayasan Bank/ Kebajikan
-Derma
-Penajaan
Al-Qardhul Hasan
Harga Istimewa
Al-Infaq, Al-Hibbah, Ji’alah

Konsep Sistem Perbankan Islam

DEFINISI SISTEM PERBANKAN ISLAM

Istilah perbankan adalah kata terbitan daripada perkataan ‘bank’. Perkataan bank berasal daripada perkataan Itali iaitu ‘banco‘ yang beerti kepingan papan tempat meletak buku atau sejenis meja iaitu ‘bench‘. Bank juga didefinisikan sebagai institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan seperti jagaan wang, pertukaran mata wang, pemberian pinjaman dan terimaan bil pertukaran. Qamus al-Munjid fi al-Lughah wa al-A’lam pula menyatakan bank sebagai tempat untuk meletakkan harta bagi tujuan pekerjaan tertentu di bawah penyelenggaraan yang khusus.

Manakala perbankan Islam pula boleh didefinisikan sebagai perbankan yang selaras dengan sistem nilai dan etos Islam. Dengan kata lain, ia merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan bank khususnya kepada umat Islam yang berlandaskan syarak. Ini bermakna, perbankan Islam bermaksud pelaksanaan operasi perbankan yang berlandas prinsip yang ditetapkan Islam. Ia juga merupakan instisusi kewangan yang berobjektif untuk mengimplementasikan prinsip ekonomi dan kewangan Islam dalam arena perbankan.

Sistem perbankan Islam pula bermaksud satu rangka kerja institusi perbankan dan kewangan yang prinsip perjalanan dan amalannya berdasarkan kepada Syariah untuk merealisasikan keadilan dalam pengagihan kekayaan dan pendapatan. Secara lebih details, ia sebagai suatu sistem perbankan yang prinsip perjalanan dan amalannya berlandaskan hukum Islam atau di dalam bahasa Arab disebut sebagai Syariah. Ini bererti segala operasi yang terdapat di dalam bank samaada penyimpanan wang mahupun urusan pinjaman dilakukan berlandaskan hukum Syariah. Penggunaan prinsip ini juga meliputi transaksi bank yang lain seperti urusan kiriman wang, surat jaminan, surat kredit, tukaran wang asing dan sebagainya.

KONSEP ASAS SISTEM PERBANKAN ISLAM

Meskipun di dalam Islam istilah bank tidak wujud, tetapi ini tidak bermakna institusi perbankan tidak diiktiraf di dalam Islam. Prinsipnya bukanlah sesuatu yang baru kerana ia telahpun dijelaskan secara umum di dalam al-Quran dan Sunnah lebih daripada 1400 tahun yang lalu iaitu melalui pengharaman riba’. Penulis berpandangan, Islam telahpun memberi satu panduan khusus berkaitan dengan sistem perbankan Islam meskipun tidak secara khusus. Jika diamati, dengan turunnya ayat tentang pengharaman riba’, ia merupakan perintis bagi membolehkan perbankan Islam lebih berkembang dari masa ke semasa sehingga membawa pembaharuan hasil daripada modifikasi yang lebih dinamik dan tersusun.

Malah ketika zaman perkembangan Islam, Baitulmal telah dijadikan sebagai satu institusi yang mengurus harta dan kewangan masyarakat ketika itu. Sejarah Islam juga membuktikan bahawa Rasullulah s.a.w telah dianggap sebagai di kalangan masyarakat ketika itu dengan mempraktikkan amalan al-Wadiah. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w sebelum diutus menjadi Rasul dikatakan sebagai seorang yang terkenal dengan kejujurannya (al-Amin). Oleh itu, Baginda masih menyimpan segala harta yang diberi orang ramai sehinggalah saat akhir sebelum berangkat dari Makkah ke Madinah dan melantik Saidina Ali untuk memulangkan segala simpanan itu pada tuannya.

Namun yang jelas, konsep sistem perbankan Islam adalah merupakan suatu penglibatan secara langsung dengan amalan kewangan tetapi ia adalah berdasarkan Syariah Islam dan menggunakan kaedah-kaedah Fiqh. Secara mudah, antara prinsip Islam yang perlu dipatuhi ialah penghapusan riba, larangan sebarang bentuk gharar, larangan perjudian, fokus kepada aktiviti dan komoditi yang halal dan menumpukan kepada konsep keadilan. Sobri Salamon pula menggariskan tujuh prinsip dan konsep utama sistem perbankan Islam iaitu Allah sebagai pemilik mutlak, manusia sebagai khalifah, integrasi nilai akhlak, penghapusan riba, perkongsian untung, bersikap positif terhadap ekonomi dan mengeluarkan zakat.

Oleh itu, meskipun sistem perbankan Islam dikatakan terikat dengan konsep-konsep seperti disebut di atas, namun ia masih lagi menawarkan servis-servis seperti ditawarkan perbankan konvensional seperti deposit, kemudahan kredit (credit facilities), pindahan wang (fund transfer) dan sebagainya. Namun apa yang membezakan ialah sistem perkongsian untung rugi menjadi alternatif kepada sistem perbankan konvensional yang berasaskan kepada riba’.

Secara teorinya, mekanisme utama dalam sistem perbankan Islam yang berasaskan perkongsian untung rugi tersebut ialah mudarabah (profit sharing) dan syarikah atau musyarakah (partnership) yang merupakan dua bentuk akad usahasama. Selain itu, metode lain bagi menggantikan riba’ dalam sistem perbankan Islam antara lain ialah seperti al-Ijarah (leasing), sewa beli (al-Ijarah thumma al-Bay’), al-Bay’ Bithaman Ajil (BBA) dan al-Murabahah (mark-up).

Oleh itu jika diamati, sekiranya kemudahan dan servis perbankan konvensional menghasilkan hubungan ‘pemiutang-penghutang’ (lender-borrower), namun dalam perbankan Islam hubungan antara bank dan pelanggan adalah sama ada ‘penjual-pembeli’(seller-buyer), ‘penyewa-menyewa’ (lessor-lesse) dan ‘pembiaya-pengusaha’ (financier-entrepreneur).

Oleh demikian, penggantian sistem urusan bank dan kewangan konvensional yang berasaskan kepada riba kepada sistem berasaskan perkongsian untung rugi bukan sahaja menggantikannya daripada sudut teknikal tetapi ia juga menggunakan mekanisme pembiayaan yang sesuai dengan keperluan Syariah dan masyarakat Islam. Ini kerana penubuhan bank konventional hanyalah semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan sedangkan konsep dan objektif penubuhan perbankan Islam berdasarkan dua faktor utama iaitu faktor agama dan faktor keuntungan.

Oleh itu, sistem perbankan Islam yang komprehensif bukan sahaja menumpukan kepada aspek larangan riba tetapi ia juga perlu meliputi aspek perundangan, prosedur dan instrumen yang akan menjadi asas untuk mencapai keadilan dan kesaksamaan. Dengan kata lain, sistem perbankan Islam akan menjadi satu sistem yang lengkap hanya apabila ia memiliki undang-undang Syariahnya yang tersendiri meliputi seluruh spektrum dalam perbankan.