Wednesday 4 September 2013

Al-Hiwalah (pemindahan hutang)

Pengertian: Permindahan hutang dari tanggungan seorang kepada orang lain.

Al Hiwalah dari segi bahasa ialah pindah. Menurut istilah ulama Hanafi mentakrifkan sebagai memindahkan tuntutan daripada tanggungan si berhutang kepada tanggungan orang yang sedia mengambil tanggungan.(1)(Wahbah Al Zuhaili, Fiqh Islami wa adillatuhu, Jilid 5, hlm 143)

Penulis kitab al Inayah telah mentakrifkan al Hiwalah sebagai pemindahan hutang daripada tanggungan si berhutang kepada penerima pindah hutang berdasarkan kepercayaan. (2)(ibid, hlm 143)

Ulama selain Hanafi mentakrifkan al Hiwalah sebagai satu aqad (kontrak) yang membawa kepada pemindahan tanggungan hutang kepada tanggungan hutang yang lain. (3)(ibid)

Ini bermakna al Hiwalah itu semacam akad (ijab qabul) pemindahan hutang dari tanggungan seseorang yang berhutang kepada orang lain, di mana orang lain itu mempunyai hutang pula kepada yang memindahkan. 4(H. Idris Ahmad S.H, Fiqh Syafii, Jilid 2, hlm 47)

Sebagai contohnya Ali mempunyai sejumlah hutang kepada Bakar. Sedang Bakar mempunyai sejumlah hutang pula kepada Umar, menurut jumlah yang sama. Oleh kerana Bakar tidak mampu untuk membayar hutangnya, maka Bakar berunding dengan Ali supaya hutangnya itu diminta saja kepada Umar. Dalam hal ini, maka Umarlah yang akan berhubungan langsung dengan Ali, sedang Bakar terlepas dari tanggungjawab hutang. (5)(ibid, hlm 47)

Maka Ali dinamakan Muhtal (dipindahkan haknya). Sedangkan Bakar dinamakan Muhil (memindahkan hak). Sementara Umar pula dinamakan Muhal alaih(menanggung hak).

PENSYARIATAN HIWALAH

Al-hiwalah diharuskan syarak berdasarkan sunnah dan ijma' kecuali pengurusan hutang dengan hutang. Pensyariatan hiwalah ini dapat kita lihat dari dalil-dalil sunnah dan ijmak.  Dalil pensyariatan hiwalah dari sunnah dapat dilihat dalam satu hadis sahih yang bermaksud:[8]

Nabi saw bersabda: “Penundaan orang yang mampu (melunasi hutang) itu adalah zalim, dan apabila seorang di antara kamu menyerahkan (kewajiban pembayaran hutangnya) kepada orang kaya, maka terimalah.”

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:[9]

 “Orang yang  mampu membayar hutang haram atasnya melalaikan hutangnya. Apabila salah seorang diantara kamu memindahkan hutangnya kepada orang lain, hendaklah diterima pilihan itu, asal yang lain itu mampu membayar”.(Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Di dalam kitab Fiqh al-Islami wa adillatuhu ada disebut mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:[10]

“Orang kaya yang melambat-lambatkan pembayaran hutang adalah melakukan kezaliman. Jika salah seorang kamu menghiwalahkan hutang kepada seorang yang kaya hendaklah kamu terima.”

Manakala di dalam riwayat lain lafaznya:[11]
 
“Sesiapa yang menghiwalahkan ke atas seorang yang kaya hendaklah diterima hiwalah itu”

Dari segi ijma' pula, dalil pensyariatan hiwalah boleh dilihat bahawa ahli ilmu pada keseluruhannya mengharuskan pindah hutang yang tidak berbentuk barang atau benda kerana hiwalah adalah pemindahan hutang. Oleh sebab itu harus pada wang atau kewajipan kewangan.[12]

Menurut Ikhwan Abidin Basri, MA di dalam tulisannya menyatakan bahawa pada prinsipnya para ulama telah sepakat dibolehkannya akad hiwalah ini. Hiwalah yang mereka sepakati adalah hiwalah dalam hutang piutang bukan pada barang konkrit.[13]

RUKUN AL HIWALAH

Menurut mazhab Hanafi rukun hiwalah ada dua iaitu ijab yang diucapkan oleh Muhil dan qabul yang diucapkan oleh Muhal dan Muhal alaih. Sedangkan menurut jumhur ulama rukun hiwalah ada enam macam iaitu: (9)(H. Sulaiman Rasjid, Fiqh Islam, hlm 299)

1. Muhil ( orang yang berhutang dan berpiutang).
2. Muhal ( orang yang berpiutang).
3. Muhal alaih ( orang yang berhutang).
4. Hutang muhil kepada muhal
5. Hutang Muhal alaih kepada Muhil.
6. Sighah (lafaz aqad).

Penjelasan, umpama A (muhil) berhutang dengan B (muhal) dan A berpiutang dengan C (muhal alaih), jadi A adalah orang yang berhutang dan berpiutang , B hanya berpiutang dan C hanya berhutang. Kemudian A dengan persetujuan B menyuruh C membayar hutangnya kepada B, setelah terjadi aqad hiwalah, terlepaslah A dari hutangnya kepada B, dan C tidak berhutang dengan A, tetapi hutangnya kepada A, telah berpindah kepada B bererti C harus membayar hutangnya itu kepada B tidak lagi kepada A.

SYARAT AL HIWALAH 

Syarat al hiwalah ini berkaitan dengan Muhil, Muhal, Muhal Alaih dan Muhal Bih(hutang yang dipindahkan).

1. Syarat Muhil (Pemindah Hutang) 

Ia disyaratkan harus dengan dua syarat : (10)(Wahbah al Zuhaili, hlm 146)

  • Berkemampuan untuk melakukan akad (kontrak). Hal ini hanya dapat dimiliki jika ia berakal dan baligh. Hiwalah tidak sah dilakukan oleh orang gila dan kanak-kanak kerana tidak mampu atau belum dapat dipandang sebagai orang yang bertanggung secara hukum. 
  • Kerelaan Muhil. Ini disebabkan kerana hiwalah mengandungi pengertian pelupusan hak milik sehingga tidak sah jika ia dipaksakan. Ibn Kamal berkata dalam al Idah bahawa syarat kerelaan pemindah hutang diperlukan ketika berlaku tuntutan. 

2. Syarat Muhal (Pemiutang Asal) 

Ia terdiri dari tiga syarat : (11)(ibid, hlm 147) 
  • Ia harus memiliki kemampuan untuk melaksanakan kontrak. Ini sama dengan syarat yang harus dipenuhi oleh Muhil. 
  • Kerelaan dari Muhal kerana tidak sah jika hal itu dipaksakan. 
  • Penerimaan penawaran hendaklah berlaku dalam majlis aqad. Ini adalah syarat beraqad. 

3. Syarat Muhal Alaih (Penerima Pindah Hutang) 
  • Sama dengan syarat pertama bagi Muhil dan Muhal iaitu berakal dan baligh. 
  • Kerelaan. Kalau ada unsur-unsur paksaan dala penerimaan pindah hutang, aqadnya tidak sah Ulama Maliki tidak mensyaratkan kerelaan bagi penerima hiwalah. 
  • Penerimaan hendaklah dibuat dalam majlis aqad. Menurut Abu Hanifah da Muhammad, syarat ketiga ini adalah syarat beraqad. 

4. Syarat Muhal Bih (Hutang). 

Para ulama sekata bahawa hutang yang dipindahkan memenuhi dua syarat : (12)(ibid, hlm 148) 
  • Ia hendaklah hutang yang berlaku pada pemiutang da pemindah hutang. Sekiranya ia bukan hutang, kedudukan aqadnya menjadi perwakilan. Implikasinya, hiwalah dalam bentuk baran yang ada tidak sah, kerana ia tidak sabit dalam tanggungan. 
  • Hutang tersebut hendaklah berbentuk hutang lazim. Hutang yang tidak lazim tidak sah dipindahkan, seperti bayaran ganjaran yang mesti dibayar oleh hamba makatab (hamba yang dibenarkan menebus diri dengan bayaran), kerana hutangnya tidak boleh dianggap sebagai hutang lazim. Ringkasnya, setiap hutang yang tidk sah untuk tujuan jaminan, ia tidak sah juga untuk dipindah-pindahkan. 

JENIS AL HIWALAH 

  • Hiwalah Mutlak. (13)(ibid, hlm 149) (Hiwalah Muthlaqah)
Misalnya, B memindahkan hutang kepada C dengan tidak mengaitkan hutang C darpada B, dan C menerima pindahan tersebut. Dalam kes ini ulama Hanafi tidak menyatakan apa-apa pandangan sama ada harus atau tidak. Mazhab yang tiga selain Mazhab Hanafi mengatakan pindah hutang dalam bentuk mutlak di mana penerima pindah hutang itu tidak mempunyai hutang daripada pemindah hutang dianggap sebagai satu jaminan semata-mata.Itupun dengan syarat ketiga-tiga pihak rela (iaitu pemuitang asal, pemindah hutang dan penerima pindah hutang). 

  • Hiwalah Bersyarat. (14)(ibid..) (Hiwalah Muqayyadah)
Iaitu pemindah hutang memindahkan hutangnya kepada penerima pindah hutang disyaratkan penerima itu mempunyai hutang daripada pemindah. Pemindahan semacam ini diharuskan oleh semua para ulama. 

  • Hiwalah Haq 
Hiwalah ini adalah pemindahan piutang dari satu piutang kepada piutang yang lain dalam bentuk wang bukan dalam bentuk barang. Dalam hal ini yang bertindak sebagai Muhil adalah pemberi hutang dan ia mengalihkan haknya kepada pemberi hutang yang lain sedangkan orang yang berhutang tidak berubah atau berganti, yang berganti adalah piutang. Ini terjadi jika piutang A mempunyai hutang kepada piutang B. 

  • Hiwalah Dayn 
Hiwalah ini adalah pemindahan hutang kepada orang lain yang mempunyai hutang kepadanya. Ini berbeza dari hiwalah Haq. Pada hakikatnya hiwalah dayn sama pengertiannya dengan hiwalah yang telah diterangkan terdahulu.


PENAMATAN AQAD HIWALAH 
Aqad hiwalah boleh tamat dengan sebab-sebab berikut : (15)(ibid, hlm 154)
  • Fasakh. Jika aqad hiwalah difasakhkan atau dibatalkan hak pemiutang aal kembali kepada pemindah hutang. 
  • Halangan syar'i. Di antara halangan syar'i ialah pemindah hutang mati, muflis dan lain-lain. 
  • Penerima pindah hutang membayar hutang kepada pemiutang asal. dengan pelunasan itu, maka tamatlah aqad pindah hutang dan hukumnya pun selesai. 
  • Pemiutang mati dan harta hutang itu menjadi waris kepada penerima pindah hutang. Oleh kerana warisan itu satu punca hakmilik, maka dengan warisan itu penerima pindah hutang menjadi pemilik. 
  • Pemiutang asal menghibahkan hartanya kepada penerima pindah hutang dan hibah itu diterima. 
  • Pemiutang asal mensedekahkan hartanya kepada penerima pindah hutang da ia menerima. Hibah dan sedekah di sini semakna dengan warisan dan pelunasan hutang 
  • Pemiutang asal melupuskan hutangnya daripada penerima pindah hutang. 

Rujukan :-

[8] Lihat Wahbah Al Zuhaili, Fiqh al-Islami wa adillatuhu, ibid, hal. 144. Lihat juga Shahih:Shahihul Jami’us Shaghir hadis no: 5876.
[9]  Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi. Lihat Wahbah al-Zuhaili, ibid. hal.304
[10] Hadis ini diriwayatkan oleh al-jam’ah daripada Abu Hurairah , lihat Wahbah al-Zuhaili, ibid. hal. 304.
[11] Hadis  diriwayatkan oleh  Imam Ahmad, rujuk Nayl al-Authar, jil. V, hal. 236 , lihat  Wahbah al-Zuhaili, ibid. hal. 304.
[12] Muhammad Syafii Antonio, Bank Syariah dari Teori ke Praktik , 2001,cet. Pertama, Jakarta: Gema Insani Press, hlm 127
[13] Muhammad Syafii Antonio ,Ibid, hal.127.

No comments:

Post a Comment