Tuesday 3 September 2013

Bentuk-Bentuk Kontrak (al-Aqd/Pertukaran) Dalam Islam (Murabahah dan Ijarah)


Perbincangan dalam bahagian ini akan tertumpu kepada bentuk kontrak yang kini diamalkan dalam urusniaga di institusi-institusi kewangan dan perbankan Islam semasa. Setelah memaklumi perkara-perkara yang berkaitan dengan pembentukan kontrak dan beberapa perkara yang berkaitan, dalam bahagian ini tumpuan akan dilakukan dalam aspek bentuk-bentuk kontrak yang ada dalam struktur transaksi Islam.


Murabahah (Harga Kos dan Margin Untung)

Murabahah dilaksanakan dalam jualbeli dan pembiayaan modal. Ia adalah penjualan suatu barang pada harga yang dijumlahkan harga asal bersama kadar (margin) keuntungan yang dipersetujui oleh penjual dan pembeli. Dalam hal ini penetapan kadar harga ditentukan oleh pemilik barang dan dipersetujui oleh pembeli. Sebagai contohnya, usahawan yang memerlukan tapak kilang telah memohon kepada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) untuk membelikannya dari pemaju hartanah. Seterusnya Bank Islam menjualkannya semula kepada usahawan dengan harga yang terdiri dari harga asal dicampur dengan kadar keuntungan bagi pihak bank dan harga baru ini dipersetujui oleh mereka.

Rukun Murabahah

  1. Pemilik barang (pemilik modal)
  2. Pembeli
  3. Kos barang asal. Harga yang dibeli oleh pemilik barang / modal dari pengeluar.
  4. Jumlah keuntungan pemilik barang. Dipersetujui oleh kedua belah pihak yang terlibat.
  5. Kontrak

Syarat-Syarat Murabahah

  1. Kos sebenar barangan yang dijual hendaklah dinyatakan kepada pembeli. Ia meliputi kos langsung dan kos tidak langsung.
  2. Kedua-dua pihak bersetuju dengan kadar keuntungan yang ditetapkan sebagai tambahan kepada kos atau modal pada barangan yang dijual beli secara murabahah.
  3. Pihak pembeli boleh membatalkan kontrak murabahah sekiranya terdapat kekeliruan berhubung kadar modal atau kos asal barang yang dijual secara murabahah.
  4. Barangan yang dijual bukan dari barangan ribawi (jenis-jenis riba) tetapi ia merupakan barangan (ain) atau wang (nilai).


Hukum Murabahah

  1. Jumhur ulama mengatakan sesuatu barang yang cacat tidak boleh dijual secara murabahah sehingga dijelaskan kecacatannya.
  2. Modal ialah sesuatu yang dipertanggungjawabkan ke atas pemodal atau pembeli (bank) yang pertama dan bukan ke atas pembeli yang kedua atau pelanggan.
  3. Hendaklah kontrak penjualan yang pertama itu sah. Jika kontrak itu fasid maka tidak harus jualan murabahah kerana murabahah ialah penjualan dengan harga pertama (harga yang dibeli) dengan tambahan untung.


Murabahah Dalam Operasi Bank

Murabahah digunakan secara meluas dalam industri perbankan. Pembiayaan modal disediakan oleh pihak bank apabila pelanggan menghendaki sesuatu barang. Dalam urusniaga ini pihak bank akan terlebih dahulu membeli atau menyediakan barang yang dikehendaki oleh pelanggan. Bank akan membeli barang ini dengan harga tunai dari pekilang atau firma dan menjual balik kepada pelanggan secara murabahah iaitu kos asal campur dengan kadar keuntungan tertentu dan dijual kepada pembeli dengan harga baru.


Ijarah (Sewa)

Pengertian

Menjual manfaat (penggunaan) atau perkhidmatan dengan harga atau bayaran yang ditetapkan. Kaedah ini digunakan dalam urusan sewa menyewa manfaat sesuatu harta benda dan juga upah mengupah untuk melakukan sesuatu kerja. Manfaat merujuk kepada penggunaan seperti kediaman bagi rumah, rumah, kenderaan dan sebagainya. Usahawan boleh menyewa tapak kilang dan mesin untuk kerja-kerja pengeluaran dengan tempoh, kadar dan syarat-syarat yang dipersetujui bersama dengan tuanpunya harta. Perkhidmatan pula merujuk kepada tenaga dan kepakaran yang digunakan bagi mendapatkan ganjaran.

Definisi: Akad antara pemilik harta sama ada tetap atau tidak tetap dengan penyewa di mana pemilik harta membenarkan penyewa mengguna dan memperolehi manfaat dan perkhidmatan dari harta tersebut. Bersama-sama itu penyewa membayar kepada pemilik harta bayaran sewa seperti yang telah dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Firman Allah: Al-Talak : 6
“ Kemudian jika merea menyusukan (anak-anak) mu untukmu, maka berikanlah kepada mereka upahnya”


Rukun ijarah ialah; 

  1. Pemberi sewa/tuanpunya harta, 
  2. penyewa/orang yang mengupah, 
  3. bayaran sewa atau upah,
  4. manfaat atau faedah 
  5. lafaz (sighah) ijab-qabul.

Syarat manfaat atau faedah ijarah ialah;

  1. Bernilai.
  2. Manfaat itu diserahkan kepada yang menyewa.
  3. Diketahui kadarnya dengan jangka masa yang ditetapkan.

Jenis ijarah/sewaan terbahagi kepada;

  • Ijarah pada Zimmah; sewaan yang belum ada barang sewaktu akad dilakukan.
  • Ijarah pada Ain; sewaan sesuatu yang ada barangnya pada waktu kontrak dilakukan.

Hukum ijarah adalah seperti berikut;

  • Kedua pihak hendaklah terdiri dari mereka yang boleh dipertanggungjawabkan di sisi syarak.
  • Kematian tidak membatalkan kontrak dan waris si mati bertanggungjawab untuk meneruskannya.
  • Terbatal kontrak jika barang yang disewa itu rosak sama sekali. Sekiranya kerosakan yang dialami kurang teruk, kaedah khiyar boleh dilakukan.

 Syarat sah sewaan  

  • Keredhaan kedua-dua pihak yang berakad sewaan
  • Hendaklah perkara yang diakadkan itu sesuatu perkara yang diketahui dalam bentuk yang boleh menghalang perbalahan. Sama ada tentang tempoh sewaan, tempat manfaat itu akan diperolehi, dan sifat-sifat harta yang disewa dan cara pembayaran sewa tersebut.
  • Hendaklah perkara yang hendak disewa itu boleh diperolehi manfaatnya dari sudut syarak dan dari sudut realiti.
  • Hendaklah manfaat yang diakadkan itu suatu perkara yang diharuskan dari sudut syarak
  • Janganlah perkhidmatan itu satu tanggungjawab fardhu atau wajib seseorang yang disewa perkhidmatannya itu sendiri sebelum akad sewa menyewa itu dibuat.
  • Janganlah orang yang disewa upah tenaganya itu mengambil manfaat daripada amal dan perkhidmatannya yang disewa
  • Hendaklah manfaat yang disewa itu sesuatu yang menjadi maksud sewaan, serta biasa diperolehi manfaatnya menerusi akad sewaan.


Dalam operasi perbankan, ijarah diamalkan apabila bank menawarkan sewaan barangan atau perkhidmatan tertentu kepada pelanggan dengan kadar upah (bayaran) tertentu berdasarkan tempoh masa dan jenis penggunaan yang telah dimuktamadkan oleh kedua belah pihak.

Rujukan :-


3 comments: