Tuesday 3 September 2013

KONSEP KONTRAK (AL-AQD/PERTUKARAN)

 Pengenalan

Kehidupan harian manusia tidak akan terlepas dari ikatan kontrak atau pertukaran. Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai al-aqd. Kontrak telah secara berpanjangan diamalkan dalam bidang ekonomi atau muamalah tetapi kemudiannya turut merangkumi juga aspek sosial dan politik kerana kebaikannya yang menekankan kepada komitmen terhadap semua pihak yang terlibat.

 Kontrak terangkum dalam aspek muamalah dan telah menjadikan perniagaan dan perdagangan sebagai suatu yang penting dalam proses kehidupan berekonomi untuk memelihara hubungan baik antara individu dalam masyarakat dan juga untuk memelihara hak setiap orang. Persetujuan antara dua pihak mengenai sesuatu perkara mewujudkan implikasi perundangan kepada mereka iaitu bertanggungjawab melaksanakan semua terma yang dipersetujui dalam kontrak.

Islam telah menggariskan dasar-dasar tertentu mengenai kontrak (al-aqd) melalui ayat-ayat al-Quran dan hadith. Banyak hasil-hasil tulisan mengenai konsep kontrak atau pertukaran (al-aqd) telah dikemukakan oleh para fuqaha sejak dari zaman awal Islam lagi sehinggalah ke zaman kegemilangan Islam memberi penekanan kepada betapa pentingnya menulis segala kontrak yang dibuat dari segi tempoh, nilai, kerja, saksi dan terma-termanya bagi menggelakkan penipuan atau ketidakadilan.

“Wahai orang yang beriman! Tepatilah perjanjian-perjanjian itu”. (al-Ma’idah: 1)

“Penuhilah janji kerana sesungguhnya janji itu pasti diminta tanggungjawab”.    (al-Isra’: 34)

Definisi Kontrak (al-Aqd/Pertukaran)

Secara umumnya kontrak atau akad (al-aqd) ini boleh diertikan sebagai “ikatan” atau “simpulan”. Ia merupakan satu peraturan mengenai persetujuan di antara satu pihak yang menawarkan (ijab) dan satu pihak yang menerima tawaran (qabul) mengikut cara yang disyariatkan serta muktamad (thabit) kesannya dari segi perundangan terhadap persetujuan itu. Akad memberi hak dan perlindungan kepada kedua belah pihak serta memperkukuhkan kerjasama untuk lebih serius dalam aktiviti ekonomi melalui pelaksanaan semua butiran kontrak.

Rukun dan Syarat Kontrak (al-Aqd/Pertukaran)

i.  Ijab dan Qabul

Para fuqaha umumnya bersetuju bahawa asas utama dalam pembentukan kontrak ialah adanya tawaran dan penerimaan. Ijab adalah tawaran yang dibuat oleh pihak pertama dan qabul pula ialah penerimaan oleh pihak yang kedua terhadap tawaran yang dikemukakan itu. Ia boleh dilakukan dengan menggunakan lisan, tulisan, isyarat, perbuatan, wakil, medium dan sebagainya asalkan kedua-dua belah pihak mengetahui dan penuh rela. Gabungan kedua-dua inilah yang membentuk kontrak. Oleh itu kontrak menjadi sah dengan persetujuan kedua belah pihak.

 Syarat Ijab dan Qabul
  • Jelas isi kandungan
  • Selari maksud atau kehendak antara ijab dan qabul
  • Kontrak dibuat dalam satu majlis iaitu kjab dijawab dengan qabul
  • Bertulis 
  • Penulis yang adil
  • Ketentuan jangka waktu
  • Ketentuan jumlah
  • Dilakukan oleh orang yang berhad/penjual/penerima kredit
  • Dilakukan oleh wakil jika ia seorang yang cacat, lemah atau tidak berkeupayaan
  • Dua saksi lelaki atau seorang saksi lelaki dan dua perempuan
ii. Subjek kontrak (al-Aqd/Pertukaran)

Ia merujuk kepada sesuatu kontrak terkena padanya dan kesan kontrak yang lahir darinya. Ini boleh melibatkan harta seperti barangan jualan atau bukan harta seperti wanita, manfaat seperti sewaan dan tenaga. Secara ringkasnya terdapat empat syarat berhubung dengan perkara ini, iaitu;

a. Subjek yang dikontrakkan itu dibenarkan oleh syarak.

b. Sesuatu yang dikontrakkan itu mesti ada (wujud) sewaktu kontrak itu dilaksanakan. Ini dikecualikan pada jual beli tempahan (al-bay’ al-Salam).

c. Sesuatu yang dikontrakkan itu mestilah diketahui dengan jelas sifat atau spesifikasinya. Ia bermanfaat, bernilai dan boleh dimiliki.

d. Para fuqaha juga bersetuju mengenai keupayaan menyerahkan barang yang dikontrakkan.

Secara ringkas terdapat 4 syarat:
  • Subjek yang dikontrak adalah dibenarkan oleh syarak
  • Suci, benda najis tidak boleh dijualbeli
  • Barang tersebut bernilai dan berfaedah
  • Sesuatu yang dikontrak mesti ada sewaktu kontrak itu dilaksanakan. Tidak sah menjual buah yang belum berbuah kerana ia belum pasti. (barang itu wujud, kecuali jual tempah)
  • Barang itu boleh dimiliki
  • Sesuatu yang dikontrakkan itu mestilah diketahui dengan jelas atau spesifikasinya. Tahu tentang zat, bentuk, kadar dan sifatnya.
  • Berkeupayaan menyerahkan barang yang dikontrakkan.
  • Barangan tersebut adalah kepunyaan penjual
iii. Pihak Yang Berkontrak

Rukun ketiga ini berkaitan dengan kelayakan orang yang melakukan kontrak. Dalam perundangan Islam bukan semua orang boleh melakukan kontrak. Terdapat mereka yang tidak layak mengadakan kontrak dan seandainya dilakukan juga tanpa mengambilkira kelayakan ini bererti kontrak itu tidak diiktiraf dan tidak sah di sisi syarak.

Kelayakan orang yang melakukan kontrak antaranya
  • Cukup umur( cukup umur), anak kecil tidak boleh berkontrak. Kanak-kanak yang sudah tahu tentang baik buruk, dibolehkan.
  • Berakal supaya tidak tertipu. Orang gila atau bodoh tidak boleh berkontrak
  • Bilangan orang yang berakad lebih dari seorang
  • Dengan kemahuan sendiri dan tidak dipaksa
  • Sihat fizikal dan mental
  • Keadaannya tidak pemboros kerana orang boros/membazir ditangan walinya. (contohnya penagih)
  Mereka yang layak terbahagi kepada 2 iaitu

1.  Kelayakan untuk menerima
2.  Kelayakan melaksanakan tugas

 Dalam syariat Islam, mereka yang mempunyai kelayakan dan kuasa sahaja boleh untuk melakukan kontrak. Mereka yang berkelayakan ini dibahagikan kepada dua iaitu;

a. Kelayakan untuk menerima atau wajib (Ahliyyah al-Wujub) iaitu seseorang yang layak menerima segala hak dan tanggungjawab syarak.

b. Kelayakan untuk melaksana tugas (Ahliyyah al-Adaa’) iaitu seseorang menunaikan segala hak yang dipertanggungjawabkan oleh syarak.

Secara umumnya peringkat kelayakan manusia dari perspektif Islam adalah cukup umur (baligh) dan berakal sihat serta matang (mumayiz dan rusyd) serta tidak muflis.

Jenis-Jenis Kontrak (al-Aqd/Pertukaran)

Penjenisan kontrak boleh dibezakan berdasarkan sifat yang dinyatakan oleh syarak. Kontrak itu wajib dilaksanakan, direkod, dikuatkuasakan, dilakukan dengan penuh kerelaan. Amalan-amalan negatif yang bertentangan dengan agama dijauhi melalui larangan; penipuan, riba, penganiayaan dan memudaratkan orang lain. Secara umumnya jenis-jenis kontrak ialah;

i.  Kontrak yang sahih (benar)
Ia merupakan kontrak yang sempurna rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Oleh itu kesan kontrak ini adalah thabit dengan serta-merta iaitu kesan pemilihan kepada pembeli dan kesan harga kepada penjual.

 Kontrak yang sahih ialah kontrak yang sempurna dan lengkap unsur-unsur asasnya iaitu ada sighah, dua orang berkontrak, barang yang dikontrakkan dan subjek kontrak.  Hukum kontrak yang sahih adalah sabit kesannya serta merta.

ii.  Kontrak yang tidak sahih (salah)
Kontrak jenis ini berlaku kerana tidak sempurna rukun atau syarat-syaratnya.

Kontrak yang tidak sahih iaitu yang cacat atau tidak cukup syarat-syarat. Hukumnya tidak melahirkan kesan kontrak. Contohnya menjual bangkai, arak dan babi.`


Kontrak yang bersifat makruh ialah adanya mudharat atau penipuan, walaupun kontrak itu sah. Contohnya jual beli waktu azan jumaat, Jual beli Najasy (jualbeli barang yang tidak diperlukan tetapi sengaja dijual atau dibeli dengan menaikkan harga barang), jual beli orang bandar terhadap orang kampung.

Penamatan Kontrak (al-Aqd/Pertukaran)

Penamatan dan pembatalan sesuatu kontrak boleh berlaku dan berkuatkuasa disebabkan oleh beberapa keadaan tetapi mestilah dengan memberitahu pihak yang satu lagi. Ini termasuklah;

i.  Pembatalan kerana rosaknya kontrak. Sekiranya wujud pemalsuan, tidak amanah, penipuan dan paksaan.

ii. Tamat tempoh masa. Kontrak yang dipersetujui telah berjalan dengan sempurna sehingga tamat masa yang tertera dalam kontrak.

iii. Disebabkan khiyar sama ada khiyar syarat atau khiyar aib.

iv. Gagal melaksanakan kontrak. Salah satu pihak tidak memenuhi terma kontrak menyebabkan kontrak terbatal.

v.  Kematian. Kematian salah seorang dari pihak yang membuat kontrak menyebabkan kontrak itu tidak sah lagi kuatkuasa perundangannya. Ini kerana kontrak itu hanya melibatkan mereka dan orang lain tidak berhak untuk menyambung kontrak tersebut.

Rujukan :-

http://mzuhairi.blogspot.com/2012/06/ekonomi-islam-9.html

http://caripopo.com/iep200b04.html


3 comments:

  1. Alhamdulillah.....
    Ilmu yang sangat bermanfaat. Saya mohon untuk menggunakan bahan ini bagi rujukan saya ya.
    Terima kasih. Besar ganjaran kepada ilmuyang bermanfaat.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum..minta izin ya guna sbg bahan rujuk kajian..terima kasih

    ReplyDelete