Sunday 8 September 2013

Ar-Rahnu (Gadaian)

Definasi Ar-Rahn menurut H.M. Arsjad Thalib Lubis (1968: 136) ialah menjadikan sesuatu barang yang berupa harta dan berharga sebagai jaminan hutang dan ia akan dijadikan bayarannya jika hutang itu tidak dapat dibayar. 

Oleh itu Ar-Rahn menjadikan sesuatu barangan sebagai cagaran atau jaminan bagi sesuatu hutang dan menjadi bayaran sekiranya tidak terdaya membayar hutang. Dalam konteks ekonomi, ia merupakan satu bentuk skim mikro kredit untuk usahawan kecil dan sederhana di mana usahawan boleh mendapatkan modal melalui tindakan menggadaikan atau mencagarkan barang berharga kepada seseorang atau institusi gadaian.

Sekiranya usahawan gagal membayar balik pinjaman setelah tempoh masanya luput maka barang berharga yang digadainya akan dilelong dan pihak yang memegang gadaian hanya akan mengambil kadar hutangnya bersama kos yang berkaitan sahaja sementara wang baki lelongan akan diserahkan kepada penggadai. Ini sebagai suatu jaminan kepada pihak yang menerima gadaian bahawa hak mereka terhadap hutang yang diberi kepada penggadai tidak akan hilang meskipun penggadai tidak dapat membayar hutang


Pengenalan

Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ditubuhkan atas dasar Fardhu Kifayah dan bukan atas dasar keuntungan semata-mata oleh pelaksanaannya. Antara tujuan utamanya ialah untuk menghapuskan riba atau hasil bunga (faedah) dan gharar yang dikenakan oleh pengusaha kedai pajak gadai secara konvensional. Walaupun menurut Akta Pajak Gadai 1972, had maksimum caj faedah bulanan adalah sebanyak 2.5 peratus, namun secara realitinya, jumlah yang dikenakan ialah sekitar tiga hingga empat peratus sebulan.

Skim ini memberikan kemudahan alternatif kepada kemudahan pin-jaman yang sedia ada di samping memberi pilihan kepada peminjam untuk menuruti kehendak dan hukum Syariah.

Skim ini beroperasi dengan memberi pinjaman ihsan sementara kepada yang memerlukan, dengan cagaran atau barang sandaran yang di-namakan ‘marhun’. Di dalam konsep ini, sesuatu barang yang berharga dijadikan sebagai cagaran yang terikat dengan hutang. Secara ringkasnya, sekiranya hutang tersebut tidak dijelaskan, maka ‘marhun’ itu tadi boleh digunakan untuk menjelaskan baki hutang tersebut.

Tujuan ‘marhun’ ini ialah untuk meyakinkan tuan punya hutang/pemiutang bahawa risiko pembayaran semula hutang tadi dapat dikurangkan. Sementara di pihak penghutang, mereka ini tidak perlu menanggung beban pembayaran semula yang tinggi, sebaliknya jalan penyelesaian terbaik telahpun dipersetujui.

Bagi hutang tadi pula, skim ini melaksanakan prinsip Al-Qardhul Hasan (bantuan ihsan), iaitu pinjaman tanpa faedah yang lebih bersifat kepada sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama Islam.

Sementara prinsip Al-Wadiah pula ialah akad di antara tuan punya barang dengan pihak yang menyimpan barang gadaian tersebut.

Atas dasar Al-Wadiah inilah, skim ini akan mengenakan bayaran upah simpan selamat (safe custody fee) ke atas barang gadaian tadi.
Secara ringkasnya, skim ini tidak akan mengenakan faedah kepada pinjaman tetapi hanya mengambil upah untuk menyimpan dengan selamat ke atas barang gadaian.


Dalil Al Quran dan Hadis

Firman Allah bermaksud:  'Bertolong-tolonglah demi untuk kebaikan dan ketaqwaan'  -   (Al-Maidah: 2)

Pada zaman Rasulullah saw muamalah gadaian telah menjadi sebahagian amalan yang telah diterima dalam masyarakat dan amalan ini dilakukan sendiri oleh baginda Rasulullah saw. dengan seorang Yahudi, seperti yang diriwayatkan daripada hadis Aisyah:

“Bahawa nabi Muhammad saw telah membeli makanan daripada seorang Yahudi untuk suatu tempoh dan telah menggadaikan baju besi”.

Maksud Firman Allah:  'Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati juru tulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang ( oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya  (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang  berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu.  Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan ingatlah Allah sentiassa mengetahui apa yang kamu kerjakan' -  (Surah al-Baqarah 2: 283)


Rukun al-Rahn (gadaian) 

  1. Penggadai (al-Rahin). Si berhutang atau dinamakan juga sebagai pelanggan atau orang yang berhutang. Ia mesti seorang yang telah baligh dan berakal serta tidak dilarang menggunakan hartanya dan dilakukan dengan kehendaknya sendiri.
  2. Pemegang gadai (al-Murtahin). Pemberi hutang atau penerima gadaian ataupun institusi al-Rahn.
  3. Barang gadaian (al-Marhun). Barang yang berharga, boleh dijual beli dan di bawah kawalan penggadai. Keutamaannya ialah barang kemas dibuat dari emas.
  4. Bayaran yang diberi kepada penggadai. Ia adalah hutang dan diketahui jumlahnya.
  5. Sighah atau lafaz kontrak ijab dan qabul berkaitan dengan gadaian.


Syarat-syarat Rahin dan Murtahin
  • Orang yang layak melakukan pertukaran barang ( berjual beli), sihat.
  • Mumayyiz
  • Orang yang diletakkan di bawah jagaan orang lain kerana bodoh, atau boros tidak layak.
  • Kematian sesuatu pihak sama ada rahin atau murtahin tidak mempengaruhi dalam perjanjian gadaian, perjanjian tetap berlaku sehingga sampai waktu yang ditentukan.

 Syarat barang gadaian  
  • Merupakan benda yang bernilai menurut ketentuan hukum syarak
  • Sudah wujud sewaktu perjanjian itu ditandatangani
  • Boleh diserahkan kepada murtahin

Konsep, Rukun Dan Ciri-Ciri Perlaksanaan

Konsep:
Berlandas dan berpandukan kepada hukum Syariah iaitu :
  • Ar-Rahnu: mekanisma di mana sesuatu barang yang berharga dijadikan sandaran ke atas hutang. Tidak ada unsur riba’ ke atas pinjaman tetapi hanya upah menjaga barang cagaran sahaja dikenakan.
  • Al-Qardhul Hasan: pinjaman ihsan yang diberikan adalah bebas dari unsur riba’atau faedah.
  • Al-Wadiah: akad untuk menjaga keselamatan barang yang dicagar.


CIRI-CIRI PERLAKSANAAN (OPERASI)


Tujuan
  • Memberi pinjaman bersandarkan nilai semasa di pasaran ke atas cagaran (emas).

Margin Pinjaman
  • 50 peratus nilai semasa di pasaran ke atas cagaran.

Kadar Upah Simpan
  • RM0.60 sebulan setiap RM100 nilai marhun (nilai marhun yang kurang daripada RM1000).RM0.70 sebulan setiap RM100 nilai marhun (nilai marhun yang lebih daripada RM1000).
  • Bagi meningkatkan prestasi operasi, ianya banyak bergantung kepada ‘volume of sales’.
Tempoh Pinjaman
  • Maksimum tempoh bayaran semula ialah enam bulan.
  • Tempoh peringatan pertama akan dilanjutkan kepada dua bulan.
  • Tempoh peringatan kedua/terakhir akan dilanjutkan kepada dua bulan lagi.
  • * (Tempoh pinjaman: enam bulan + dua bulan + dua bulan).

Sekuriti/Cagaran
  • Emas Tulen (bergantung kepada keadaan fizikal dan jenisnya).

Bayaran Balik
  • Sekali gus atau ansuran (bergantung pada budi-bicara pihak pengurusan).

Kelulusan
  • Serta-merta atau semua urusan penggadaian atau penebusan selesai.

Hasil Lelongan
  • Barang gadaian yang tidak ditebus selepas tamat tempoh pinjaman akan dilelong mengikut harga pasaran semasa. Hasil lelongan akan ditolak pinjaman yang tidak berbayar, upah simpan dan kos-kos lain yang terbabit. Bakinya akan dipulangkan kepada penggadai.

Peralatan Ujikaji

  • Penggunaan batu hitam, kanta pembesar dan asid.
  • * Peralatan yang lebih sofistikated adalah dicadangkan namun ianyaterbatas dari segi prestasi operasi, harga/kos pembelian, penggunaan yang maksimum memerlukan seorang yang terlatih dan lain-lain faktor yang terlibat.

Perkakasan Penimbangan
  • Electronic Balance dan Electronic Densimeter.
  • Perkakasan yang lebih sofistikated adalah dicadangkan namun ianya terbatas dari segi prestasi operasi, harga/kos pembelian, penggunaan yang maksimum memerlukan seorang yang terlatih dan lain-lain faktor yang terlibat.

Peralatan Dan Perkakasan Keselamatan
  • Pejabat operasi, peti besi (dua unit), kabinet kalis api (untuk menyimpan dokumen-dokumen) dan bilik kebal.
Insurans
  • Merangkumi insurans pengurusan wang tunai,pemindahan wang tunai, perlindungan kebakaran, perlindungan kecurian dan sebagainya.

KESIMPULAN

Semoga dengan adanya Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ini, ia dapat memberi pilihan kepada masyarakat Islam, amnya dan anggota-anggota koperasi, khususnya dalam mengatasi masalah kewangan. Dengan ini, mereka yang memerlukan pinjaman segera tidak lagi terbelenggu dengan sistem pajak gadai sedia ada konvensional yang lebih bersifat menekan dan menindas. Selain dari itu, kemudahan ini selaras dengan dasar dan prinsip perjalanan sistem berkoperasi; tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain.


Rujukan :-

No comments:

Post a Comment