Monday 2 September 2013

Jual Beli dalam Islam


1.1 PENGERTIAN

Bahasa : Pertukaran sesuatu dengan sesuatu yang lain.
Syarak  : Akad dalam menukarkan sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan.


1.2 HUKUM


Hukum asal jual beli adalah harus. Ini bertujuan bagi menyempurnakan hajat manusia yang memerlukan sesuatu sebagai pemilikan. Syariat ini termaktub
dalam al-Quran dan hadis. Malah, telah diakui oleh ijmak ulama.


1.3 DALIL

1.3.1 Firman Allah s.w.t :


" ....... وأحل الله البيع وحرم الربا ....."
Maksudnya : “ … Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba….”
                              ( Al-Baqarah : 275 )


1.3.2 Firman Allah s.w.t :



".. لا تأكلوا أمولكم بينكم بالبطل إلا أن تكون تجرة عن تراض منكم"..

Maksudnya : “ .. janganlah kamu makan harta yang ada di kalangan kamu secara batil, melainkan dengan cara perniagaan secara reda antara kamu.” .( Al-Nisa’ : 29 )





1.3.3 Dalil Hadis


Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya mengenai pekerjaan apa yang paling suci, lalu jawab baginda :


" سئل النبي صلى الله عليه وسلم : اي الكسب اطيب ؟ فقال : عمل الرجل بيده، وكل بيع مبرور، اى لا غش فيه ولا خيانة ".                            
Maksudnya : “ Pekerjaan tangan seseorang dari setiap jual beliyang baik-baik iaitu jual beli yang tidak sambil (menipu barang dagangan) lagi    pula tidak khianat .”


1.3.4 Ijmak Ulama :

Seluruh ulama bersepakat bahawa jual beli adalah harus untuk keperluan dan kepentingan dalam kehidupan. Imam al-Syafie berkata, “Asal bagi semua jual beli adalah harus jika kedua-dua orang yang berjual beli itu reda dengan barang yang dijual beli itu, kecualilah jenis jual beli yang dilarang Rasulullah s.a.w.”
( Al-Syafie : 1981 )


1.4 RUKUN JUAL BELI


 1.4.1 Penjual dan Pembeli


- Seorang yang baligh, berakal dan mampu menguruskan barangan dengan baik;

- Dilakukan atas kemahuan sendiri dan bukan secara paksaan dan bebas membuat pilihan kecuali dalam kes yang melibatkan undang-undang;

-  Penjual dan pembeli adalah dua orang individu yang berlainan;

- Beragama Islam bagi jual beli yang melibatkan al-Quran, hadis dan kitab yang mengandungi ayat al-Quran di dalamnya;

- Pembeli bukan seorang yang kafir harbi (yang boleh diperangi) jika barangan yang dibeli adalah peralatan senjata.

1.4.2 Barang jualan

- Hendaklah wujud dan boleh diserahkan semasa akad jual beli dilakukan kecuali dalm jual beli al-Salam dan al-Istishna’;

- Bersih dan suci;

- Berfaedah menurut syarak dan bernilai menurut Islam;

- Kepunyaan penjual atau wakilnya;

- Diketahui oleh penjual dan pembeli tentang kadar, jenis dan sifatnya.

1.4.3 Harga

- Bayaran adalah bernilai atau laku dalam pasaran;

- Bayaran jelas jumlahnya;

- Bayaran adalah milik pembeli;

- Bayaran boleh diserahkan kepada penjual walaupun secara hukum ( sah jual beli dengan cek atau kad kredit ).

-  Jenis matawang bayaran diketahui oleh penjual dan pembeli.

1.4.4 Ijab dan Qabul

- Tawaran (ijab) hendaklah berterusan dan tidak diubah hinggalah telah diterima (qabul);

- Ijab dan qabul berlaku dalam satu majlis dan tidak wujud tempoh yang lama antara kedua-duanya;

- Ijab dan qabul tidak diselangi dengan percakapan atau perkataan lain yang tidak berkaitan dengan akad;

- wujud persamaan ijab dan qabul walaupun berlainan lafaz;

- akad jual beli tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu yang tidak berkaitan dengan akad;

- akad jual beli tidak boleh dihadkan untuk tempoh tertentu.


1.5 BENTUK – BENTUK JUAL BELI


1.5.1 Jual beli yang dibenarkan :


1. Al-Sarf / Tukaran matawang : jual beli dua barangan yang kedua-duanya  dalam bentuk matawang;

2. Bay’ al-Salam : jual beli barangan secara tempahan tetapi perlu bayaran pendahuluan dan ada tempoh penyerahannya;

3. Bay’ al-Istishna’ : jual barang yang belum wujud dan tidak memerlukan mendahulukan dengan bayaran dan tempoh penyerahannya boleh ditentukan dan boleh tidak ditentukan;

4. Bay’ al-Wafa’ : kontrak jual beli dengan menjual harta tetap yang tidak boleh dipindahkan kepada pembeli seperti tanah dan rumah.

5 . Bai’al-Murabahah:
Jual beli pada harga asal dengan tambahan keuntunean pada kadar tertentu yang kedua-duanya dinyatakan oleh penjual daii dipersetujui olch pembeli.  Contohnya: “Saya jual rumah itu dengan harga pokok RM 50,000 dan saya mengambil untung RM 5,000.” (harga jualan RM 55,000).

6 .  Bai’al-Tauliah:
Jual beli pada harga asal dengan penjual tidak mengambil sebarang keuntungan ( Jual beli pada harga kos).
Contohnva:”Saya jual kereta itu dengan harga pokok RM 25,000.” (harga jualan RM 25,000).

7 . Bai’al-Wadhi’ah:
Jual beli pada harga yang lebih rendah daripada harga asal dengan penjual sedia menerima kerugian pada kadar tertentu ( Jual beli pada harga di bawah kos).  Contohnya: “Saya jual rumah itu dengan harga RM 45,000 kurang RM 5,000 daripada harga pokok.” (Harga pokok ialah RM 50.000)

8 . Bai’al-Musawamah:
Jual beli dengan kerelaan kedua-dua pihak Penjual dan pembeli tanpa menyatakan keuntungan yang  diambil oleh perjual. Contohnya:”Saya jual barang itu kepada kamu dengan harga RM 100.”

9 . Bai’ al Isyrak:
Jual beli sebahagian barang dengan sebahagian harga asal dengan penjual tidak mengambil sebarang keuntungan. Contohnya:  “Harga asal tanah itu ialah RM 20,000, saya jual setengah daripadanya kepada kamu dengan harga  RM 10,000


1.5.2 Jual beli yang haram dan tidak sah :

1. Jual beli barangan yang haram untuk kegunaan maksiat atau keburukan. Contohnya, menjual patung berhala ataupun dadah;

2. Jual beli yang mempunyai unsur perjudian. Contohnya, membeli sesuatu barang sebagai pertaruhan untuk mendapat hadiah lumayan;
3. Jual beli yang mempunyai unsur penipuan. Contohnya, menjual buah- buahan yang diperagakan elok di bahagian atas tetapi buruk didalam serta dibawahnya;

4. Jual beli yang mengandungi dua akad (kontrak) dalam satu. Contohnya, kita menjual kereta kepada seseorang dengan harga RM10,000 secara tunai dan dengan harga RM2,000 secara ansuran selama setahun;

5. Jual hutang dengan hutang. Contohnya, kita ada berhutang RM100 dengan Ahmad. Pada masa yang sama, Borhan membayar hutang dengan kita RM100. Kemudian, kita meminta Borhan membayar hutang kita sebanyak RM100 itu kepada Ahmad;

6. Jual beli barangan yang tidak sempurna hak milik. Contohnya, kita menjual suatu barangan yang dibeli tetapi belum diserahkan barangan itu kepada kita oleh pemiliknya;

7. Jual beli barangan gharar, tiada kepastian dan tidak boleh diserahkan kepada pembeli. Contohnya, menjual burung di udara atau ikan di lautan.

8. Jual beli barangan yang belum wujud. Contohnya, menjual buah-buahan putik yang masih dipokok atau anak lembu yang masih dalam kandungan;

9. Jual beli barangan bersyarat. Contohnya, kita berkata “ aku jual keretaku ini dengan syarat engkau jual kereta engkau kepadaku.”

1.5.3 Jual beli yang haram tetapi sah :


1. Membeli atau menjual barang yang sedang dalam tawaran orang lain;

2. Monopoli dalam jual beli. Contohnya, membeli barang dengan tujuan menyekat orang lain membeli atau supaya orang lain tidak menjualnya;

3. Jual beli hadir libad (orang bandar kepada orang desa), iaitu membeli daripada orang yang tidak mengetahui harga sebenar, samada mereka dari desa ataupun dari bandar;

4. Jual beli tulaqqi al-Rukhban (memintas perdagangan), iaitu menyekat penjual dari desa yang tidak mengetahui harga pasaran di tengah jalan untuk membeli dengan harga yang murah;

5. Jual beli najasy, iaitu membeli barang dengan tujuan orang lain terikut–ikut membelinya hingga mereka mambayar dengan harga yang lebih tinggi;

6. Membeli barangan yang halal untuk tujuan maksiat. Contohnya,membeli ayam tetapi digunakan untuk memuja keramat;

7. Jual beli sewaktu azan solat Jumaat (kepada mereka yang diwajibkan solat Jumaat). Ia bermula daripada imam menaiki mimbar hinggalah selesai menunaikan solat;

8. Mengurangkan sukatan dan timbangan.


http://ustazabdulwahab.wordpress.com/muamalat/jenis-jenis-jual-beli/

No comments:

Post a Comment