Monday 9 September 2013

Konsep Sistem Perbankan Islam

DEFINISI SISTEM PERBANKAN ISLAM

Istilah perbankan adalah kata terbitan daripada perkataan ‘bank’. Perkataan bank berasal daripada perkataan Itali iaitu ‘banco‘ yang beerti kepingan papan tempat meletak buku atau sejenis meja iaitu ‘bench‘. Bank juga didefinisikan sebagai institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan seperti jagaan wang, pertukaran mata wang, pemberian pinjaman dan terimaan bil pertukaran. Qamus al-Munjid fi al-Lughah wa al-A’lam pula menyatakan bank sebagai tempat untuk meletakkan harta bagi tujuan pekerjaan tertentu di bawah penyelenggaraan yang khusus.

Manakala perbankan Islam pula boleh didefinisikan sebagai perbankan yang selaras dengan sistem nilai dan etos Islam. Dengan kata lain, ia merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan bank khususnya kepada umat Islam yang berlandaskan syarak. Ini bermakna, perbankan Islam bermaksud pelaksanaan operasi perbankan yang berlandas prinsip yang ditetapkan Islam. Ia juga merupakan instisusi kewangan yang berobjektif untuk mengimplementasikan prinsip ekonomi dan kewangan Islam dalam arena perbankan.

Sistem perbankan Islam pula bermaksud satu rangka kerja institusi perbankan dan kewangan yang prinsip perjalanan dan amalannya berdasarkan kepada Syariah untuk merealisasikan keadilan dalam pengagihan kekayaan dan pendapatan. Secara lebih details, ia sebagai suatu sistem perbankan yang prinsip perjalanan dan amalannya berlandaskan hukum Islam atau di dalam bahasa Arab disebut sebagai Syariah. Ini bererti segala operasi yang terdapat di dalam bank samaada penyimpanan wang mahupun urusan pinjaman dilakukan berlandaskan hukum Syariah. Penggunaan prinsip ini juga meliputi transaksi bank yang lain seperti urusan kiriman wang, surat jaminan, surat kredit, tukaran wang asing dan sebagainya.

KONSEP ASAS SISTEM PERBANKAN ISLAM

Meskipun di dalam Islam istilah bank tidak wujud, tetapi ini tidak bermakna institusi perbankan tidak diiktiraf di dalam Islam. Prinsipnya bukanlah sesuatu yang baru kerana ia telahpun dijelaskan secara umum di dalam al-Quran dan Sunnah lebih daripada 1400 tahun yang lalu iaitu melalui pengharaman riba’. Penulis berpandangan, Islam telahpun memberi satu panduan khusus berkaitan dengan sistem perbankan Islam meskipun tidak secara khusus. Jika diamati, dengan turunnya ayat tentang pengharaman riba’, ia merupakan perintis bagi membolehkan perbankan Islam lebih berkembang dari masa ke semasa sehingga membawa pembaharuan hasil daripada modifikasi yang lebih dinamik dan tersusun.

Malah ketika zaman perkembangan Islam, Baitulmal telah dijadikan sebagai satu institusi yang mengurus harta dan kewangan masyarakat ketika itu. Sejarah Islam juga membuktikan bahawa Rasullulah s.a.w telah dianggap sebagai di kalangan masyarakat ketika itu dengan mempraktikkan amalan al-Wadiah. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w sebelum diutus menjadi Rasul dikatakan sebagai seorang yang terkenal dengan kejujurannya (al-Amin). Oleh itu, Baginda masih menyimpan segala harta yang diberi orang ramai sehinggalah saat akhir sebelum berangkat dari Makkah ke Madinah dan melantik Saidina Ali untuk memulangkan segala simpanan itu pada tuannya.

Namun yang jelas, konsep sistem perbankan Islam adalah merupakan suatu penglibatan secara langsung dengan amalan kewangan tetapi ia adalah berdasarkan Syariah Islam dan menggunakan kaedah-kaedah Fiqh. Secara mudah, antara prinsip Islam yang perlu dipatuhi ialah penghapusan riba, larangan sebarang bentuk gharar, larangan perjudian, fokus kepada aktiviti dan komoditi yang halal dan menumpukan kepada konsep keadilan. Sobri Salamon pula menggariskan tujuh prinsip dan konsep utama sistem perbankan Islam iaitu Allah sebagai pemilik mutlak, manusia sebagai khalifah, integrasi nilai akhlak, penghapusan riba, perkongsian untung, bersikap positif terhadap ekonomi dan mengeluarkan zakat.

Oleh itu, meskipun sistem perbankan Islam dikatakan terikat dengan konsep-konsep seperti disebut di atas, namun ia masih lagi menawarkan servis-servis seperti ditawarkan perbankan konvensional seperti deposit, kemudahan kredit (credit facilities), pindahan wang (fund transfer) dan sebagainya. Namun apa yang membezakan ialah sistem perkongsian untung rugi menjadi alternatif kepada sistem perbankan konvensional yang berasaskan kepada riba’.

Secara teorinya, mekanisme utama dalam sistem perbankan Islam yang berasaskan perkongsian untung rugi tersebut ialah mudarabah (profit sharing) dan syarikah atau musyarakah (partnership) yang merupakan dua bentuk akad usahasama. Selain itu, metode lain bagi menggantikan riba’ dalam sistem perbankan Islam antara lain ialah seperti al-Ijarah (leasing), sewa beli (al-Ijarah thumma al-Bay’), al-Bay’ Bithaman Ajil (BBA) dan al-Murabahah (mark-up).

Oleh itu jika diamati, sekiranya kemudahan dan servis perbankan konvensional menghasilkan hubungan ‘pemiutang-penghutang’ (lender-borrower), namun dalam perbankan Islam hubungan antara bank dan pelanggan adalah sama ada ‘penjual-pembeli’(seller-buyer), ‘penyewa-menyewa’ (lessor-lesse) dan ‘pembiaya-pengusaha’ (financier-entrepreneur).

Oleh demikian, penggantian sistem urusan bank dan kewangan konvensional yang berasaskan kepada riba kepada sistem berasaskan perkongsian untung rugi bukan sahaja menggantikannya daripada sudut teknikal tetapi ia juga menggunakan mekanisme pembiayaan yang sesuai dengan keperluan Syariah dan masyarakat Islam. Ini kerana penubuhan bank konventional hanyalah semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan sedangkan konsep dan objektif penubuhan perbankan Islam berdasarkan dua faktor utama iaitu faktor agama dan faktor keuntungan.

Oleh itu, sistem perbankan Islam yang komprehensif bukan sahaja menumpukan kepada aspek larangan riba tetapi ia juga perlu meliputi aspek perundangan, prosedur dan instrumen yang akan menjadi asas untuk mencapai keadilan dan kesaksamaan. Dengan kata lain, sistem perbankan Islam akan menjadi satu sistem yang lengkap hanya apabila ia memiliki undang-undang Syariahnya yang tersendiri meliputi seluruh spektrum dalam perbankan.

No comments:

Post a Comment