Monday 9 September 2013

Perbezaan Takaful dan Insurans

Suka saya untuk kongsikan sebuah artikel yang ditulis oleh Mohamad Faizul Bin Ibrahim dalam blognya http://www.ideafaizul.com/idea/perlindungan/beza-takaful-dan-insurans/. Dalam dunia kewangan peribadi, kita sering kali ditawarkan untuk menyertai pelan takaful  atau insurans? mungkin kita rasa bahawa takaful  dan insurans adalah sama. Persoalannya mengapakah sebahagian menyebut takaful dan sebahagian menyebut insurans?  Mengapa insurans dan takaful tidak dinamakan atas satu nama sahaja?

Kalau dilihat objektif kedua-dua pelan ini adalah sama tetapi beberapa perbezaan sudah dijelaskan oleh ulama Islam. Perbezaan utama antara kedua-dua pelan ini adalah AKAD atau dalam bahasa sekarang dipanggil KONTRAK. Sebelum wujudnya takaful di pasaran Malaysia ulama Islam cuba untuk meneliti pelan insurans sama ada mengikut muamalah Islam atau tidak. Setelah diteliti akad / kontrak insurans adalah kontrak JUAL BELI. Jual beli memang diharuskan oleh Islam tetapi mesti memenuhi rukun jual beli mengikut Muamalah Islam. Dalam jual beli mesti ada PENJUAL, PEMBELI, AKAD (PERSETUJUAN JUAL BELI TERSEBUT) dan BARANG YANG DIBELI. Maka menjadi tanda tanya kepada kita apakah barang yang dibeli dalam pelan insurans. Adakah barang tersebut polisi yang bernilai jutaan ringgit? atau kematian? atau nasihat? Maka di situ lahirlah beberapa perkara yang tidak dibenarkan dalam Islam

1. Riba – dalam insurans riba akan berlaku apabila pertukaran wang berlaku di antara wang caruman peserta yang sedikit diganti dengan wang manfaat yang dibayar oleh syarikat dengan nilai lebih tinggi. Elemen riba turut wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan pelaburan insurans biasanya tidak dipantau oleh Jawatankuasa Syariah

2. Maisir (Judi) – dalam kontrak insurans wujud bilamana:

Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya.
Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku.
Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima
3. Gharar (tak pasti) -Kontrak Insurans mengandungi unsur gharar kerana apabila tidak berlaku tuntutan, satu pihak (syarikat insurans) akan mendapat semua keuntungan (premium) sementara satu pihak lagi (peserta) tidak mendapat sebarang keuntungan.

Pada 15 Jun 1972 , Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam persidangan yang kelimanya telah memutuskan iaitu insurans nyawa sebagaimana yang dijalankan oleh syarikat-syarikat insurans yang ada pada masa ini adalah suatu muamalah yang fasid (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba.

PENYELESAIAN

Para ulamak telah sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti kepada Insurans Konvensional. Akad / Kontrak DERMA  (Tabarru’) menjadi teras utama yang membina paksi Takaful. Dalam konteks Takaful setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang ikhlas ketika menderma bagi membantu sesama para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah. Dalam erti kata lain yang lebih tepat, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka ketika ditimpa kemalangan.

Jadual berikut adalah beberapa perbezaan antara insurans dan takaful
INSURANSTAKAFUL
Kontrak Jual BeliKontrak Tabbaru’ ( Derma & sumbangan ) yang disertakan dengan pelaburan.
Peserta membayar premium kepada syarikat insuransPeserta membuat caruman ke dalam takaful. Peserta saling menjamin sesama sendiri di bawah skim takaful.
Syarikat insurans bertanggungjawab membayar manfaat insuran seperti dijanjikan daripada asetnyaSyarikat Takaful bertindak sebagai pemegang amanah dan membayar manfaat  daripada kumpulan wang peserta
Pelaburan kumpulan wang bebas tanpa sebarang kekangan ShariahPelaburan kumpulan wang Takaful hanya dilaburkan dalam instrumen yang selari dengan Shariah
Wang peserta dianggap wang syarikat insurans dan dimilki olehnya sejurus dibayar oleh peserta.Wang peserta tidak dikira sebagai wang syarikat malah ia diasingkan dan tidak dimiliki oleh syarikat
Pencarum tidak berhak untuk mendapat sebarang bahagian dari lebihan untungLebihan untung dipegang oleh tabung untuk dibahagikan semula kepada peserta

Dengan penggunaan derma ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur riba’ gharar dan maisir

————————————————————————————–

*Nota tambahan dari saya

Tidak dinafikan sesetengah pihak tetap dengan pendirian yang menyatakan insurans konvensional itu harus walaupun sudah ada alternatifnya iaitu takaful. Mereka menyatakan subjek matter atau barang yang menjadi jual beli adalah “Jaminan”. Walaupun begitu menjadikan “jaminan” sebagai barang tukaran adalah tidak tepat dan tidak memenuhi kriteria sebagai al-mal dan manfaat. Lazimnya sesuatu jaminan itu imbuhannya adalah upah dan bukan harga bagi jaminan itu sendiri.

Harus juga dilihat Jaminan itu dalam bentuk wang. Maka tukaran tidak sama nilai menjadikannya riba.

sesetengah pihak turut menyatakan tiadanya gharar kerana menggunakan “jaminan” sebagai subject matter sedangkan jaminan berkenaan hanya muncul apabila tuntutan dibayar. Jadi wujud juga gharar dari sudut penyerahan barangan. Boleh jadi cepat, lambat atau langsung tidak boleh diserahkan akibat tidak berlakunya sebarang tuntutan.

Disebabkan telah wujudnya sistem yang lebih baik dan menepati kehendak syariah, maka eloklah pihak-pihak berkenaan meninggalkan muamalah fasid yang sedang mereka usahakan. Dengan ilmu kewangan dan teknikal yang dimiliki eloklah jika digunakan untuk memartabatkan kewangan islam di negara ini.

wallahua’lam

No comments:

Post a Comment